Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Nov 30, 2008

Tamadun Khilafah Islamiyah

Bermula lebih 1400 tahun dahulu, Islam mula tersebar di muka bumi setelah Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul. Setelah baginda wafat, perjuangan menyebarkan Islam diteruskan oleh para sahabat.

Saidina Abu Bakar berjuang menentang golongan murtad dan golongan yang enggan membayar zakat. Setelah golongan ini berjaya diatasi, baginda mula mengalihkan tumpuan untuk meluaskan empayar Islam. Pembukuan Al-Quran bermula pada zaman ini.

Saidina Umar meneruskan permulaan meluaskan empayar Islam yang dirintis oleh Saidina Abu Bakar. Baginda berjaya mengusai dua empayar yang terbesar iaitu Rom Byzantine dan Sassanid Parsi. Baginda akhirnya dibunuh oleh seorang yahudi setelah 10 tahun memerintah.

Saidina Uthman meneruskan operasi meluaskan empayar Islam. Pembukuan Al-Quran diselesaikan pada zaman baginda. Akhirnya baginda gagal mengawal suasana umat Islam. Kacau bilau mula berlaku dan akhirnya baginda telah dibunuh oleh peberontak.

Saidina Ali tidak meneruskan operasi perluasan empayar sebaliknya cuba mengawal suasana kacau bilau yang berlaku. Akhirnya tercetus dua peperangan yang besar sesama umat Islam (Perang Jamal dan Perang Siffin). Baginda dibunuh semasa dalam perjalanan untuk menunaikan solat subuh di masjid.

Muncul pula kerajaan Bani Umayyah. Khalifah pertama, Muawwiyah b Abu Sufyan dilantik semasa majlis tahkim dalam peperangan Siffin. Muawwiyah mewariskan jawatan khalifah kepada anaknya, Yazid I menyebabkan wujudnya kerajaan bani Umayyah. Muawwiyah meneruskan perluasan empayar Islam. Apabila kerajaan ini mulai lemah (kelemahan dari segi pimpinan dan perebutan kuasa), Bani Abbasiyah melancarkan pemberontakkan dan berjaya menggulingkan kerajaan Bani Umayyah.

Kerajaan Bani Abbasiyah pula mengambil alih. Disamping perluasan kuasa, Kerajaan Bani Abbasiyah menumpukan kepada tamadun ilmu. Zaman kegemilangan berlaku pada pemerintahan Khalifah Harun Ar Rashid dan anaknya Khalifah Al Makmum. Perebutan kuasa dalaman menyebabkan pemerintahan semakin lemah dan akhirnya kerajaan ini dikalahkan oleh tentera Monggol.

Setelah hampir 30 tahun kejatuhan Bani Abbasiyah, Empayar Turki Uthmaniyyah muncul. Empayar ini berjaya meluaskan pengaruh Islam. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al Fateh, baginda telah berjaya menawan Kota Konstantinopel, Kota terakhir Rom Byzantine. Kota ini gagal ditawan sejak 800 tahun yang lalu. Baginda adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "Kota Konstantinopel akan ditawan oleh seorang raja yang baik, tenteranya yang baik dan rakyatnya yang baik". Kota ini ditukar nama kepada Islambul (islam keseluruhannya). Pemerintahan yang tidak cekap, pemberontak dan muncul gerakan nasionalisme adalah faktor utama kejatuhannya. Pada tahun 1924, Mustapa Kamal Al Tanturk telah menggulingkan khalifah islamiyah terakhir dan menubuhkan negara republik.

*Ringkasan daripada buku "Jatuhnya Sesebuah Tamadun" karya Mohamad Nurhakim (2008) dan penambahan sedikit daripada pengetahuan penulis.


-ibnuahmad-

Nov 28, 2008

Sayap Kiri

Aku mengambil contoh struktur tentera musyrikin Makkah dalam peperangan Uhud
  • Jeneral Perang – Abu Sufyan bin Harb
  • Sayap Kanan – Khalid Al Walid
  • Sayap Kiri – Ikrimah bin Abu Jahal
  • Belakang – Bahagian makanan, minuman dan perubatan
  • Sokongan – Penyair wanita digunakan untuk menguatkan semangat kaum lelaki berperang.

Jikalau dilihat dalam konsep peperangan, peranan sayap kiri tentera adalah amat penting. Ia sama penting dengan peranan sayap kanan.

Kalau dilihat dari sudut ini, wanita diletakkan dibahagian sokongan, bukannya sayap kiri.

Pada dasarnya, lelaki mampu berjuang walaupun tanpa wanita. Tetapi ia akan menjadi agak tempang ataupun kurang sempurna tanpa kehadiran golongan ini.

Ada yang mengumpamakan lelaki sebagai burung dan wanita pula sebagai sayap kiri. Tanpa sayap kiri (wanita), burung (lelaki) tidak boleh terbang (berjuang). Perumpamaan ini seolah-olah menyatakan lelaki tak boleh berjuang tanpa kehadiran wanita tetapi pada hakikatnya lelaki boleh berjuang tanpa wanita. Bagi aku, perumpamaan ini tak sesuai.

Jikalau diumpamakan lelaki sebagai ayam dan wanita sebagai sayap kiri. Bagiku ia agak logik juga. Ini kerana tanpa sayap kiri (wanita), ayam (lelaki) tetap boleh berjalan (berjuang) walaupun kelihatan agak cacat dan kurang sempurna.

Apa la yang mengarut hari ni.


-ibnuahmad-

Banyak Cakap

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa manusia pada zaman ini memang suka bercakap (ada juga yang tidak suka bercakap, namun kuantitinya adalah sedikit). Apabila berjumpa dengan teman sebaya, teman rapat ataupun teman yang telah lama tidak berjumpa, bertambah lagi rancak topik perbualannya. Keadaan ini berlaku tidak kira dari golongan lelaki atau perempuan.

Perempuan dengan sikapnya yang amat pemalu apabila berada di depan lelaki, tapi apabila di belakang tabir (contohnya tabir solat), masya allah, tak berhenti mulutnya. Sampai nak solat pun dah jadi kurang khusyuk. Lelaki pun lebih kurang je.


Menarik mengenai percakapan ni ialah sampai dalam tidur pun mulut masih lagi bercakap (mengigau). Maklumlah, masa tak tidur cukup pendek, jadi sambung cakap masa tidur pula. Di sini aku selitkan cerita perempuan yang banyak bercakap (berleter) yang aku ambil dari http://uncle.blogdrive.com/


Seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar.

Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata: "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.

Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"

Umar berkata kepadanya: "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.

"Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya.

"Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya."

Lelaki itu menjawab: "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."

Umar pun berkata kepadanya: "Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."


Bersabarlah wahai kaum lelaki, termasuklah aku.


-ibnuahmad-

Nov 21, 2008

Lawan Tetap Lawan

Degil, keras kepala, ego dan macam-macam lagi. Seronok betul meyaksikan drama Wanita UMNO the movie ni. Pelan peralihan kuasa, pencalonan ketua pergerakan dan naib ketua, bertanding atau tak, kritikan dan pendapat dan macam-macam lagi. Satu plot cerita yang baik, menarik dan masih belum diketahui "ending"nya bagaimana.

Bagi Shahrizat, anda mendapat sokongan yang banyak. Anda telah mengambil kira suara akar umbi. Betul tindakan anda untuk bertanding jawatan Ketua. Lawan tetap lawan.

Bagi Rafidah, anda perlu mempertahankan maruah anda, pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui sebelum ini tetapi telah dilanggari. Anda perlu mempertahankan maruah anda. Lagipun anda mendapat pencalonan yang tinggi untuk jawatan tersebut. Lawan tetap lawan.

Dari segi strategi politiknya pula, keadaan ini mungkin rancangan sulit dan licik untuk menjatuhkan Sharizat dari pergerakan ini. Sharizat yang tersepit antara dua keadaan terpaksa membuat pilihan untuk bertanding dan ini memberi peluang kepada Rafidah untuk menyingkirkan beliau dalam pemilihan agong tidak lama lagi.

Antara perkara utama yang hendak diketengahkan dalam filem "Wanita UMNO The Movie" ini ialah kekuasaan, keegoan dan maruah.

Yang sedang bergembira sekarang ialah Kamilia. Yang lagi gembira En Najib (sebab dah menang jawatan presiden).

Tunggu dan lihat apakah kesudahan filem terhangat 2008/2009 ini. Hahahaha......


-ibnuahmad-

Nov 18, 2008

AWAS: Kopi Radix Tiruan

Nov 15, 2008

Kisah-Kisah Dahulu (Sirah Nabawiyyah dan Sahabat)

Ini adalah kisah pembunuhan sesama umat Islam, pembunuhan wanita dan perobohan masjid (rumah ibadat) yang aku ingat berlaku pada zaman rasulullah SAW dan para sahabat.



Pembunuhan Orang Islam.


Pembunuhan sesama Islam yang pertama berlaku pada Khalifah yang ke 3, Saidina Uthman bin Affan. Baginda telah dibunuh oleh pemberontak dari Iraq. Sampai sekarang pembunuhnya masih belum diketahui. Rentetan daripada peristiwa ini, berlakulah pembunuhan sesama Islam secara besar-besaran.


Perlantikan Saidina Ali sebagai khalifah ke 4 tidak mendapat bersetujuan ramai ekoran daripada perlantikannya tidak mengikut prosedur perlantikan khalifah. Saidatina Aishah, dan dua orang sahabat yang dijamin syurga (Zubir bin Awwan dan Talhah bin Ubaidillah) berjaya mengumpulkan tentera untuk menentang Saidina Ali. Akhirnya berlakulah peperangan Jamal yang berjaya dimenangi oleh Saidina Ali. Zubir bin Awwan dan Talhah bin Ubaidillah syahid dalam peperangan ini.


Pada zaman tersebut, keadaan umat Islam huru-hara. Saidina Ali berpendapat mendamaikan umat Islam adalah perkara yang perlu di utamakan terlebih dahulu. Saidina Muawwiyah tidak puas hati kerana menganggap Saidina Ali tidak mengendahkan tentang pembunuhan Saidina Uthman. Akhirnya berlakulah peperangan Siffin yang dimenangi oleh Saidina Ali.


Kedua-dua peperangan ini melibatkan korban umat Islam yang ramai.



Pembunuhan Wanita


Syair dalam bangsa arab amat penting. Seorang penyair perempuan bernama Asma binti Marwan yang terkenal di Madinah. Setelah sinar Islam datang ke Madinah, Asma tetap dengan agama yahudi. Ia telah mencipta rangkap-rangkap syair untuk menghina Rasulullah, Islam, masjid dan lain-lain. Ini telah menimbulkan kemarahan Umair bin Adi, saudara Asma dan juga seorang yang buta. Umair merancang membunuh Asma. Rasulullah memberi keizinan kepada Umair. Akhirnya Umair berjaya membunuh Asma semasa Asma tidur.



Perobohan Masjid Dirar


Masjid Dirar dibina oleh golongan munafik madinah berdekatan masjid Quba’. Selepas kembalinya Rasulullah dari Peperangan Tabuk, Rasulullah mengarahkan perobohan masjid tersebut. Masjid yang didirikan bukan atas dasar taqwa pun dirobohkan.



-ibnuahmad-

Nov 14, 2008

Ukhwah Itu Indah...


Firman Allah yang Bermaksud:

"Sesunguhnya Orang-Orang Yang Beriman Itu Adalah Bersaudara, Maka Damaikanlah Di Antara Dua Saudara Kamu Yang Bertelagah Itu Dan Bertaqwalah Kepada Allah Supaya Kamu Beroleh Rahmat"

Al-Hujurat: 10

Bila Dua Diri Mencintai Ilahi
Bergabunglah Jiwa Bersatulah Hati
Dua Jiwa Satu Cinta...
Dua Jasad Satu Matlamat...

Bila Cinta Kerana Allah
Berpisahnya Tidak Gelisah...
Bila Rindunya Kerana Yang Satu
Bertemunya Pasti Tidak Jemu
Ukhwah Itu Indah...
Bila Bertemu Dan Berpisah Kerana Allah


Oleh In-Team

Selamat Berjuang Cikgu Muda

Sempet aku bermesej dengan tiga (3) orang sahabat yang baru dapat posting kat Sarawak. Mereka ini mengambil jurusan pendidikan biologi dekat UPSI.

Aku bertanya dimanakah mereka ditempatkan?

Jawapan 1: Aku duk di Limbang, dekat dengan Brunai, majoriti Iban.

Jawapan 2: Saya dapat kat Miri, saya ni bukan duk bandar, tapi pedalaman..nak tubik bandar pun payah.

Jawapan 3: Ana ditempatkan di Miri, agak pedalaman juga la.

Seronok juga aku mendengarnya. Apabila kita merantau, tengoklah kebudayaan setempat. Bawa masuk kebudayaan kita yang baik ke dalam budaya tempat tersebut. Cuba ubah budaya yang tidak sihat di kawasan tersebut, ambil yang baik sebagai pengalaman dan ilmu untuk kegunaan di masa hadapan.

Selamat berjuang cikgu muda. Bela lah anak murid mu dari kejahilan. Cetuskan misi dakwah, hapuskan taghut dan kezaliman. Hanya Allah yang mampu mengubahnya. Tugas manusia hanya melaksanakan tanggungjawabnya, amal makruf, nahi mungkar.



Gambar ini tiada kaitan dengan coretan diatas, boleh renung, semak balik dengan ilmu yang ada, cuba berfikiran dengan waras, buat penilaian, yang mana agaknya lebih sopan?


-ibnuahmad-

Keikhlasanku: Kisah Muslimin

KISAH 1: En T.

En T merupakan salah seorang ahli jamaah surau. Boleh dikatakan setiap waktu solat dia berada di surau. En T selalu mengerjakan solat sunat di surau. Namun, apabila berada di rumah, En T tak pernah mengerjakan solat sunat.

*Hadis: Solat sunat afdal dilakukan di rumah berbanding di Masjid/Surau. Ada ulamak yang membuat perumpamaan perbandingan solat sunat di rumah dengan solat sunat di masjid/surau seperti solat fardhu berjemaah dengan solat fardhu berseorangan. Mana yang lebih untung? Sejauh manakah keikhlasan kita mengerjakan solat sunat di masjid? Di masjid memang rajin buat, tapi kat rumah?


KISAH 2: Abang H.

Abang H dilantik sebagai pengerusi Lujnah Tarbiah bagi Pemuda UMNO bahagian. Dalam setiap program, Abang H sentiasa segak dengan pemakaian serbannya. Pada sesi pemilihan yang baru lepas, Abang H tidak terpilih lagi memegang jawatan tersebut. Kini Abang H tidak lagi memakai serban setiap kali menghadiri program.

*Pakai serban masa ada jawatan sahaja, lepas tu? Sejauh manakah keikhlasan.


KISAH 3: Pak N.

Pak N memegang Biro Dakwah untuk sebuah NGO. NGO ini amat terkenal kerana dianggotai oleh ramai wanita-wanita muda yang cantik. Pak N terkenal sebagai seorang yang amat kuat bekerja dalam usaha dakwah sehingga kadang-kadang masa tidurnya turut tergadai, kerja lain tertangguh. Namun, Pak N amat jarang ke masjid untuk mengerjakan solat jemaah walaupun rumahnya berdekatan dengan masjid. Ada khabar angin yang berbunyi Pak N buat kerja kerana wanita dalam NGO tersebut.

*Bukankah kaum lelaki wajib mengerjakan solat secara berjamaah? Khabar angin, betul atau tidak? Jika betul, sejauh mana kerja-kerja dakwah yang dilakukan jika ia kerana wanita? Jika salah, kerja dakwah perlu seiring dengan ibadat lain terutamanya solat (memelihara solat - solat di awal waktu, berjamaah)


-ibnuahmad-
*Kisah-kisah dari imaginasi penulis.

Nov 12, 2008

Ibu Tunggal Lacur Diri Kepada Rakan Sepejabat, Sanggup Dibayar Secara Ansuran

Inilah hakikat Negara Malaysia yang dikatakan maju oleh para pemimpin yang berkuasa. Masih ada golongan yang tidak terbela terutamanya golongan ibu tunggal dan golongan kurang upaya.

Adakah kita boleh menerima pakai fatwa yang dibuat oleh Dr Mashitah, menghalalkan pelacuran jika darurat. Bagi aku yang jahil ini, fatwa tersebut tidak boleh diterima pakai sama sekali.

Dimanakah kesucian maruah wanita Islam, dimanakah nilai harga diri umat Islam.

Dimanakah peranan para pemimpin. Tidak kira pemimpin daripada pihak kerajaan ataupun pembangkan. Para pemimpin perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. Jangan asyik mendabik dada menyatakan kemajuan Negara jika perkara seperti ini masih wujud dalam Negara ini.

Kepada golongan-golongan penentang POLIGAMI, adakah anda tidak merasa bersalah perkara ini berlaku. Wanita yang tiada pembelaan sehingga berlaku perkara ZINA. Anda patut rasa berdosa akan tindakan anda.

Kepada golongan LELAKI yang beriya-iya hendak kahwin melebihi seorang, inilah peranan anda, inilah tanggungjawab anda.

Selamatkanlah wanita, selamatkanlah maruah ISLAM. Jangan biarkan perkara jijik seperti ini berlaku dalam masyarakat Islam.

Berita penuh dibawah ini.



-ibnuahmad-


Sumber berita: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20081112135942/Article/index_html

GOMBAK: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mendedahkan dua ibu tunggal di Pulau Pinang terpaksa melacurkan diri kepada rakan sekerja, termasuk sanggup dibayar secara ansuran, bagi menyara anak mereka.

Seorang daripada mereka bekerja sebagai jaga dan mempunyai enam anak, manakala seorang lagi tukang cuci, terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup apabila bekas suami gagal memberi nafkah anak-anak, walaupun Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah berkenaan, sejak tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Ibrahim Lembut, berkata berdasarkan maklumat diperoleh kelmarin, ibu tunggal enam anak itu terpaksa melacurkan dirinya selepas dua bulan diceraikan.

"Dia sudah tiga tahun diceraikan dan pada bulan kedua dia mula melacurkan diri kepada rakan sekerja, malah menerima bayaran secara ansuran kerana mahu menyara anaknya kerana gajinya sebagai jaga terlalu kecil.

"Seorang lagi ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci juga mengambil jalan sama bagi menyara beberapa anaknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah Ke-10 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Nov 10, 2008

Orang Kurang Upaya

Lebih kurang dua minggu lepas, aku berpeluang menjadi orang kurang upaya (OKU). Demam. Pelik rasanya demam ini, tak pernah ku lalui demam sepertinya sebelum ini. Pada pendapat ku, mungkin ini adalah demam urat.

Seluruh badan terasa sakit. Mencucuk-cucuk. Dua hari, asyik terlentang tidur sahaja, nak duduk pun tak larat. Tiada kekuatan. Begitulah keadaanku menjadi orang kurang upaya.

Sahabatku, Faisal (bukan nama sebenar) mengatakan itu sebagai kafarah dosa-dosa ku. Betul, itu adalah kafarah dosa jika bersabar. Kalau tak sabar, tak jadi kifarah dosa juga.

Zaim (juga bukan nama sebenar) mengatakan itu petanda nak mati. Jawapannya, mengikut firman Allah yang bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti merasai mati kemudian kepada kamilah kamu dikembalikan – (Surah al-Ankabut, ayat 57). Semua manusia menuju kearah kematian, tak kira sakit, OKU ataupun tidak.

Terdapat empat jenis manusia yang dapat ku simpulkan daripada peristiwa ini:
  1. Mengingati Allah sebelum sakit dan ketika sakit. Manusia yang tidak leka walaupun apa yang berlaku kepada dirinya.
  2. Mengingati Allah sebelum sakit tetapi tidak ketika sakit. Asyik melayan kesakitan hingga melupakan tanggungjawab sebagai hamba.
  3. Hanya mengingati Allah ketika sakit. Manusia yang hanya ingat akan Allah sewaktu berada dalam kesusahan tetapi tidak sewaktu senang.
  4. Tidak mengingati Allah semasa senang ataupun sakit. Kehidupan manusia yang amat malang. Tidak menemui cahaya kebenaran.

Golongan manakah kita tergolong. Fikir, renung dan buatlah perubahan kearah kebaikan. Ikhlaskan niat kita.

-ibnuahmad-

Nov 3, 2008

Thariq bin Ziyad

Aku terasa ingin mengetahui mengenai tokoh ini. Pada awalnya aku berangapan bahawa beliau tergolong daripada golongon sahabat. Aku menekan 'keyboard' komputer untuk mencari maklumat mengenai tokoh ini.

Beliau tidak tergolong dalam golongan sahabat. Beliau memeluk Islam di zaman pemerintahan Saidina Muawiyah daripada daulah Uthmaniyyah.

Beliaulah tokoh ataupun panglima perang yang membebaskan bumi sepanyol daripada kekejaman pemerintah nasrani. Setelah hampir dua tahun berperang, bumi Sepanyol berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera Islam.

Sepanyol ditukar nama kepada Andalusia yang diperintah oleh umat Islam selama beratus-ratus tahun lamanya. Bumi yang telah ramai melahirkan ulamak dan ilmuan Islam ini akhirnya kembali ditawan oleh Kuffar akibat daripada kelekaan dan kelalaian ummat kepada Maha Pencipta.

Aku tidak mahu berceloteh panjang mengenai beliau. Aku 'link'kan maklumat yang aku dapat dalam sebuah blog di sebelah kanan blog ini dalam ruangan SIRAH PILIHAN. Kepada sesiapa yang nak tahu lebih lanjut mengenainya, bolehlah buka 'link' tersebut. Jika ingin mengetahui lebih lanjut, bolehlah mencari buku mengenainya sebagai bacaan tambahan.

Sesungguhnya tak rugi jika kita mencari ilmu. Kita yang rugi jika kita tidak mencari.


-ibnuahmad-