Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Jul 21, 2009

Pinggan daripada Tulang Babi

CAP minta umat Islam waspada beli seramik campuran haiwan haram

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu berwaspada apabila membeli pinggan mangkuk dan perkakasan makanan seperti cawan dan piring daripada seramik kerana ada jenama tertentu mengandungi campuran tulang haiwan, termasuk tulang babi.

Tinjauan di beberapa gedung beli-belah di ibu negara mendapati tiada label diletakkan bagi memaklumkan pengguna bahan campuran digunakan untuk menghasilkan perkakasan itu.

Berbanding dengan kedai kasut yang biasanya meletakkan label 'kasut diperbuat daripada kulit babi' di ruang jualan, peniaga yang menjual pinggan mangkuk mengandungi campuran tulang haiwan tidak memaklumkannya kepada pembeli.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, ketika diminta mengulas, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan yang mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya.

Bone China adalah istilah komersial digunakan pembuat perkakasan pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

"Berbanding penggunaan kaca dan tembikar sepenuhnya, perkakasan yang mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom. Ia dicampurkan bagi menjadikannya lebih berkilat dan cantik.

"Ia biasanya lebih eksklusif dengan harga mencecah RM8,000 satu set," katanya.

Namun, katanya, peniaga sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan meletakkan label di ruang jualan bagi memudahkan umat Islam mengenal pasti sama ada perkakasan dibeli dicampur tulang haiwan.

Bagaimanapun, beliau berkata, umat Islam boleh menghubungi CAP di talian 04-8299511 untuk kepastian.

Pengarah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pihaknya pernah menerima aduan umat Islam yang khuatir mengenai penggunaan perkakasan seramik yang dikatakan mengandungi tulang haiwan.

"Namun, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Pihak berkuasa perlu menubuhkan unit khas untuk membuat kajian makmal," katanya.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, pula berkata pengguna yang ingin mendapatkan kepastian boleh membawa perkakasan itu untuk dianalisis oleh Unit Pemantauan dan Penguatkuasaannya.

Oleh: Siti Haliza Yusop
Berita Harian Online
22 Julai 2009


Suatu Perbahasan Ilmiah - Makanan, Teknik Perniagaan dan Pemboikotan

Pada asasnya, penyediaan makanan dalam Islam hendaklah halal dan baik. Halal merupakan suatu perkara yang diketahui oleh ramai. Namun merujuk pula pada makanan yang baik. Perkara ini adalah meliputi dari pelbagai aspek seperti proses pembuatan, pembukusan, pemasaran dan perkara-perkara yang berkaitan dengan makanan ini. Jika ada yang mencampurkan elemen-elemen zikir dalam proses pembuatan, maka itu adalah yang terlebih baik. Adalah sifat semulajadi manusia mencari yang terbaik antara yang terbaik. Jadi bila ada pilihan yang lebih baik, kenapa harus mencari yang kurang baik.

Dalam aspek perniagaan, promosi adalah amat penting dalam memastikan produk yang dikeluarkan dapat dipasarkan. Menyentuh kepada cara promosi seperti mempamerkan cara penyediaan, cara penyembelihan, zikir-zikir yang dibacakan, alat-alat yang digunakan pun dikempen sekali, ini adalah salah satu cara ataupun kaedah yang digunakan bagi membuktikan bahawa produk mereka adalah produk yang terbaik. Di era moden ini, terdapat terlalu banyak barangan yang dijual dipasaran. Dengan kaedah promosi seperti ini dapat memberitahu pengguna produk mana yang lebih baik untuk dibeli. Promosi produk melalui kaedah ini dibolehkan dalam Islam. Yang tak bolehnya adalah cara yang menipu.

Segala amalan sah dengan niat. Niat yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Promosi barangan halal dalam masa yang sama berkempen memboikot barangan lain (barangan tidak halal, barangan yang tidak baik, barangan musuh Islam seperti Yahudi dan Amerika) adalah suatu dakwah. Mencari yang halal adalah kewajipan setiap individu muslim dan yang haram wajib dinyatakan haram.

Di dalam sejarah Islam di Madinah, ada suatu perigi yang dimiliki bersama oleh seorang Yahudi dengan Saidina Uthman. Dalam seminggu, si yahudi menggunakan perigi tersebut sebanyak enam (6) hari manakala Saidina Uthman hanya satu (1) hari. Saidina Uthman telah menginfak perigi tersebut dimana semua orang boleh menggunakan perigi tersebut dengan percuma manakala pada hari lain, si Yahudi telah mengenakan bayaran yang tinggi kepada sesiapa yang ingin mengambil air dalam perigi tersebut. Nabi SAW telah mengarahkahkan semua kaum muslimin untuk mengambil air pada hari Saidina Uthman sahaja. Suatu arahan boikot yang dikeluarkan oleh nabi SAW.

Kempen boikot dibuat berdasarkan kepada tindakan zalim dan penindasan yang dilakukan oleh penjajah. Tindakan promosi sambil berkempen boikot barangan lain adalah untuk membuka mata masyarakat bahawa mereka mempunyai barangan alternatif yang lebih terjamin halalnya buatan orang Islam jika mereka melaksanakan pemboikotan ini.

Dalam persoalan ini, isu menjatuhkan orang lain sepatutnya tidak timbul. Ia ditimbulkan oleh individu-individu yang masih lagi terlalu taksub dengan produk penjajah sehingga menjadi igauan berpuakan di dalam mimpi jika mereka meninggalkan produk penjajah. Apa yang patut dilakukan ialah kita harus menyokong dan mempergiatkan lagi usaha ini sebagai salah satu usaha menjatuhkan golongan zalim dan golongan terlaknat di muka bumi ini.


*Tulisan ini dibuat sebagai respon kepada pertanyaan yang dikemukakan dalam satu yahoo group.

Sifat-Sifat Penghuni Neraka

Membicarakan satu tajuk yang agak tidak menarik. Ditambah dengan penghuraian yang amat mengantukkan apabila membacanya. Kekurangan ilmu, kekurangan kemahiran, kelemahan diri adalah puncanya. Namun tetap juga diteruskan penulisan ini.


Dalam mencari petunjuk kearah jalan yang benar dan diredhai oleh Allah, manusia hendaklah sentiasa dalam keadaan bersedia. Bersedia dari erti kata persiapan diri seperti pencarian ilmu, pengamalan dengan ilmu yang diperolehi serta sentiasa menyediakan diri untuk mempertingkat keimanan terhadap Allah.


Namun amat ramai manusia pada hari ini yang sengaja mencari keingkaran yang menyebabkan mereka menemui kesesatan. Kesesatan yang dimiliki adalah disebabkan oleh daya usaha mereka sendiri. Mereka sendiri memilih jalan orang-orang yang rugi.


Allah SWT telah menjadikan Neraka Jahanam untuk memuatkan golongan-golongan jin dan manusia yang selalu lalai dan engkar terhadapNya. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah walaupun sudah ada yang memberi dan memperdengarkan akan kebenaran. Mereka yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat akan bukti keesaan dan kebesaran Allah SWT. Mereka yang selalu leka dengan keindahan dunia yang bersifat sementara. Dan mereka yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat. Mereka mengikut akan kehendak hawa nafsu dan syahwat.


http://www.islam-watch.org/Assets/rameses2-l.gif


Firman Allah SWT dalam surah Al A'raaf, ayat 178-179 yang bermaksud:


“Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.”


“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”


Kehidupan dunia akhir zaman ini yang penuh cabaran, dugaan serta mehnah dan tribulasi terlalu merimaskan jiwa setiap insan terumanya insan yang memahami akan kepentingan kembalinya tertegak khalifah Islam, insan yang memahami tujuan sebenar erti kehidupan di dunia ini walaupun ada masanya ia tertewas dalam menhadapi cubaan ini.


Jangan biarkan jiwa-jiwa yang dididik dengan roh Islam hanyut di alam fana ini. Kembalikanlah jiwa-jiwa Islam. Bangkitkan kembali semangatmu. Bangkitkanlah kembali semangatku. Membarakanlah kembali jiwa-jiwa yang rindukan perjuangan. Perjuangan keadilan. Keadilan Islam.

Jiwa yang Membeku

Terasa diri ini semakin mengecil. Semakin mengecil seperti juga dengan peredaran masa yang terasa makin pantas berlalu. Begitu juga dengan pemikikiran. Kecerdasan pemikiran dirasakan semakin perlahan. Mood untuk menulis, mengisi ruangan blog ini amat sukar dijumpai menjadikan blog ini agak terbengkalai dan tidak terurus sejak kebelakangan ini.

Tidak dinafikan kesibukan dengan pekerjaan mengurangkan masa untuk memfokus diri dalam bidang penulisan blog yang diceburi lebih setahun lepas. Sehingga penulisan ini dibuat, saya masih lagi dikira gagal dalam menguruskan masa yang saya ada sekarang. Perpindahan alam yang agak jauh berbeza menyebabkan diri gagal menstabilkan diri dari aspek pengurusan masa. Mungkin memerlukan sedikit masa untuk mengaturkan masa secara lebih terurus agar tiada yang tersisih dari rutin harian yang perlu saya lalukan setiap hari. Walaupun tanggugjawab semakin besar, tanggungjawab pada blog ini tidak boleh saya abaikan sebagaimana begitu bersemangatnya di waktu dahulu, di waktu blog ini memulakan operasinya.

http://supersuga.files.wordpress.com/2008/03/otak-kiri-kanan.jpg

Kepayahan mencari mood yang hilang mungkin disebabkan keletihan ekoran seharian bekerja namun ketandusan idea untuk menulis, apakah pula sebabnya. Apakah penyebab yang menjadikan otak menjadi beku seterusnya membekukan jiwa ini? Bila direnung kembali, kekurangan pengisian menjadi antara punca utama kebekuan yang melanda. Kekurangan perbincangan ilmiah menyebabkan diri semakin jauh dari matlamat asal penghidupan di dunia ini. Matlamat asal ialah persediaan dalam menghadapi alam kubur dan padang mahsyar kelak. Semakin jauh diri dengan pentarbiahan, semakin jauh diri berdampingan dengan ulamak-ulamak dan semakin jauh diri dengan sahabat-sahabat yang seperjuangan, yang sentiasa mengingatkan apabila diri terleka menyebabkan diri semakin lalai dan terumbang ambing menghadapi gelombang kelekaan dunia.

Punca ianya terjadi sudah diketahui. Namum perancangan bagi mengatasi segala permasalahan dan kesanggupan diri untuk berubah, kembali kefitrah asal kelahiran manusia perlu dilaksana dan diperkuat dengan segera. Biarlah impian asal kehidupan menjadi kenyataan sebelum nyawa bercerai dari badan. Semua manusia sentiasa mencari yang terbaik diantara yang terbaik (kecuali yang special case).

Sebagai pengakhiranya, segala permasalahan perlu diatasi dengan segera memandangkan punca permasalah sudah dikenalpasti. Cuma kaedah dan kesanggupan untuk berubah perlu ada. Semangat dalam bersahat tetap perlu dihidupkan walaupun berada berjauhan. Perlu ingat mengingati agar tidak ada sahabat yang kecundangan. Bersahabat bukan hanya di waktu senang, bukan di saat bergembira sahaja.

Jul 20, 2009

Ubatan Hati

Aku ingin mencari keberkatan dan keperluan hidup, aku mendapatinya dalam solat dhuha. Aku mencari penerang untuk alam kubur, aku mendapatinya dalam solat malam. Aku mencari jawapan untuk menjawab soalan malaikat, aku mendapatinya dalam membaca Al-Quran. Aku mencari alat berpegang ketika menyeberang titian sirat, aku mendapatinya dalam puasa dan sedekah. Aku mencari naungan arasy, aku mendapatinya dalam beribadah kepada Allah.

Satu mesej yang diterima dari seorang sahabat. Boleh dikatakan semuanya sudah diketahui, ubatan hati. Namun sejauh mana perlaksanaan dan penghayatannya. Tiada kekuatan, nafsu yang menguasai diri.

Jul 4, 2009

Daku Kembali (5)

Dunia Blog
Dunia penulisan melaluli blog menghiasi medan internet dewasa ini. Kemunculan blog yang tumbuh dengan banyaknya dalam waktu yang singkat. Perkembangan blog di dunia kampus juga amat rancak. Ada yang muncul sekejap, kemudian terus malap (mati).

Apa yang ingin disebut disini ialah dunia blog mahasiswa. Kebanyakkan blog yang saya lawati adalah bersifat tidak berpijak di bumi yang nyata. Terlalu idealistic. Segala penceritaan merujuk kepada perkara yang baik namun hakikatnya diri penulis sendiri, ia mempunyai jarak yang amat jauh.

Tidak salah menulis perkara-perkara yang baik sahaja, namun biarlah penulisnya menghampiri nilaian apa yang ditulisnya. Janganlah jadi seperti orang munafik berbicara. Biarlah apa yang ditulis menyentuh hati penulisnya terlebih dahulu sebelum ia menyentuh hati pembacanya.

Sekadar pandangan peribadi bagi memperbaiki nilai penulisan, etika seorang penulis dan bagi memperbetulkan diri sendiri.

-ibnuahmad-
02 & 03 Julai 2009

Daku Kembali (4)

Chikungunya

Suatu penyakit yang semakin kurang mendapat liputan setelah datangnya wabak selsema babi. Namun apa yang saya ketahui, amat ramai penduduk di negeri kelantan yang menghadapi demam ini. Kebanyakkannya yang tinggal di kawasan berhampiran dengan ladang getah. Di kawasan tempat tinggal saya sendiri, boleh dikatakan setiap rumah ada yang kena dengan penyakit ini.


Pada 16, 17 dan 18 Jun lalu, saya berjaya memperoleh cuti apabila saya juga dimaklumkan oleh doctor turut sama terkena penyakit ini. Penyakit yang memakan masa yang agak lama untuk pulih kembali. Sehingga tulisan ini ditaip, saya masih lagi pulih sepenuhnya. Kesannya masih ada. Namum apa yang saya alami tidaklah teruk dimana saya masih lagi dapat bangun, berjalan. Kebanyakkan yang kena dengan penyakit ini tidak mampu untuk berjalan. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Beberapa hari selepas saya, bonda kesayangan saya pula yang kena dengan penyakit ini. Dua hari beliau tidak mampu bangun.


Pilihanraya Kecil Manek Urai (PRK MU)

Peperangan sekali lagi meletus antara UMNO dan PAS. Jikalau dulu di PRK Penanti merupakan rekod pilihanraya paling aman tanpa kehadiran calon UMNO, kini sudah semestinya PRK MU tidak lagi seaman PRK Penanti.


Serangan demi serangan sudahpun bermula. Di media massa, tulisan-tulisan yang meloyakan sudah lama terpampang. Memang dasar pengampu yang menjijikkan. Mendakwa diri mulia berbanding orang lain. Hakikat yang lama sudah diketahui, merekalah kaki rasuah, kaki samseng, kaki perusuh dll. Tindakan mereka sama seperti kaum yahudi mendakwa diri mereka mulia. Sedangkan Islam ditolak ketepi.


Minyak Kelantan

Isu yang sedang hangat diperkatakan di Parlimen, Dewan Undangan Negeri Kelantan dan di Manek Urai. Tuntutan kerajaan negeri Kelantan yang sudah lama diajukan. Bayaran royalty sebanyak 5% daripada hasil perolehan bumi (minyak) sepatutnya dibayar pada kerajaan negeri. Duit daripada bayaran royalty ini sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Kerajaan pimpinan UMNO masih lagi berdolak dalik dengan tuntutan yang diajukan oleh kerajaan negeri Kelantan. Konsep 1 Malaysia jelas sekali GAGAL jika negeri pimpinan pembangkan masih lagi didiskriminasikan oleh kerajaan pusat.


-ibnuahmad-

02 & 03 Julai 2009

Daku Kembali (3)

Alam Kampus – Pendaftaran Pelajar Baru
Sempat juga menjengok kepada blog sahabat-sahabat yang masih berada di alam kampus dimana sesi pendaftaran pelajar baru bermula. Rindu kembali menatap sahabat-sahabat, rindu kembali ke alam kampus.

Sesuatu yang merbahaya tetapi mencuit hati saya bercampur dengan kesian melihat para pelajar baru perlu melepasi ujian saringan selsema babi. Selsema babi suatu wabak yang merbahaya. Memang binatang ini tidak berguna dan amat menyusahkan manusia. Sesuai dengan ajaran Islam yang mengharamkan binatang ini.

Kelakar bila melihat manusia amat takut kepada kematian. Manusia amat kalut apabila datang musibah. Tidak seperti sahabat nabi SAW, Saidina Abu Ubaidah Amir Al Jarrah yang menghadapi wabak taun dengan tenang kerana keyakinan terhadap takdir Allah. Kesian apabila melihat pelajar baru terpaksa menghadapi satu lagi kaunter karenah biroksi sebelum berjaya mendaftar. Yang sihat lepas ler, yang kurang sihat, lambat la sikit nak lepas. Kesian betul.

Alam Pekerjaan - Alasan
Alam pekerjaan ialah alam untuk mencari duit. Apabila duit ada ditangan, semua hendak dibeli. Nak beli kereta. Nak beli itu dan ini. Nak tolong mak ayah dan adik-adik. Nak kahwin. Nak belanja kawan. Dan macam-macam. Namun usrah dah terasa malas nak pergi. Program tarbiah apatah lagi. Teruk betul manusia ni. Termasuklah penulis. Masih lagi ingat akan firman Allah. Namun hati tetap terasa berat.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah At-Taubah; 24)


-ibnuahmad-
02 Julai 2009

Daku Kembali (2)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)

Kedengaran juga beberapa isu yang dimainkan oleh KPM yang kemudi oleh Timb Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terus terang saya katakan, dahulu saya memandang agak tinggi kepada beliau berbanding dengan pimpinan UMNO yang lain yang kelihatan amat meloyakan. Namun beberapa isu yang disarankan menyebabkan pandangan saya semakin merendah kepada anak kelahiran Johor ini

Antara cadangan yang dikemukan ialah menghadkan sebanyak 12 subjek kepada calon SPM. Jika dilihat kepada pencapaian pelajar-pelajar kini, pelajar sudah mampu mencapai ketahap yang amat baik dalam pelajaran. Ada yang sudah mencecah kepada pencapaian 20A, 19A, 18A dalam SPM. Ini menunjukkan pelajar kita sudah terkehadapan.

Namun dengan kehadiran pemikiran orang tua, mereka mahu mengembalikan pelajar ke belakang. Mengembalikan pemikiran pelajar ke belakang. Berkemungkinan juga ia melibatkan unsur politik. Memandangkan kebanyakkan yang berjaya berasal dari Kelantan ataupun yang berperwatakan sopan (bertudung labuh dll). Bagi mengelakkan masyarakat memandang tinggi kepada pentadbiran bercorakkan Islam, maka system ini dirangka. Apabila ramai yang berjaya dalam 12 subjek ini, maka tidak lagi ada yang menonjol. Nampak ianya sama sahaja.

Cadangan seterusnya yang dikemukan ialah lulus Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus SPM. Syarat yang pada pandangan saya adalah amat tidak kena dengan sistem yang diamalkan oleh Malaysia. Jika syarat ini dikuatkuasakan, maka akan bertambah ramailah penduduk Malaysia yang tidak memiliki sijil SPM sedangkan SPM adalah segala-galanya di Malaysia.

Apa yang saya ketahui dengan sistem peperiksaan di Malaysia ialah gred akan diturunkan jika pencapaian pada sesuatu subjek kurang memuaskan. Ini dapat dilihat apabila peratus pencapaian peperiksaan di Malaysia tidak pernah menurun. Kemungkinan perkara ini juga akan berlaku apabila lulus BI menjadi syarat lulus SPM. Gred akan diturunkan bagi mengelakkan peratusan menurun. Apabila gred diturunkan bermakna kita juga menurunkan tahap pendidikan kita ketahap yang lebih rendah hingga ketahap yang amat rendah yang memungkinkan ia sudah tidak berharga dan bernilai lagi.

Satu lagi cadangan yang dikemukan ialah melanjutkan tempoh KPLI kepada 18 bulan bagi memantapkan lagi kualiti guru yang bakal dilahirkan. Cadangan ini perlu diteliti dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya kerana dilihat banyak pro dan kontra berada di dalamnya. Ia mungkin perlu dibahaskan di parlimen bagi mencari jalan penyelesaiannya. Pemikiran secara perseorangan perlu dikurangkan bagi mengurangkan kesilapan dalam membuat sebarang keputusan.

-ibnuahmad-

02 Julai 2009

Daku Kembali (1)

Sudah lama diri ini tidak menulis. Idea datang di waktu sibuk. Di waktu senang idea menghilang. Lebih-lebih lagi waktu sibuk melebihi daripada waktu senang. Waktu sibuk memonopoli diri ini di alam yang sedikit berbeza daripada dahulu. Terlalu banyak isu yang berlalu tanpa sebarang reaksi bertulis daripada blog ini.


Muktamar PAS ke 52

Gambar diambil dari harakahdaily.net


Pertamanya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada pimpinan PAS yang baru. Pimpinan yang amat ku sayangi. Mungkin ia sudah terlalu lewat untuk dibicarakan.


Kerajaan Perpaduan

Isu yang amat hangat dibincangkan di dada akhbar baru-baru ini. Isu terus dimainkan oleh media massa telah menjadi senjata utama bagi BN/UMNO bagi memecahbelahkan pakatan rakyat dan PAS sendiri. Isu ini telah selesai setelah pengumuman Presiden PAS menutup isu kerajaan perpaduan.


Secara peribadinya, saya melihat kekalutan yang timbul adalah berpunca daripada mesyuarat yang tidak dilaksanakan. Jika kita kembali semula ke zaman pemerintahan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW banyak mengadakan mensyuarat bagi menyelesaikan sesuatu isu. Mesyuarat amat diutamakan oleh Rasulullah SAW walaupun baginda sentiasa menerima wahyu daripada Maha Pencipta. Mesyuarat itu penting. Dalam situasi sekarang saya melihat media massa pro kerajaan adalah sama seperti golongan munafik dan yahudi pada zaman Rasulullah SAW.


Namun apa yang dikesalkan saya ialah masih lagi kedengaran sesetengah pimpinan kawasan memburukkan pimpinan yang lain dalam isu ini. Pernah kedengaran beberapa panggilan yang kurang enak dilemparkan kepada individu tertentu. Hal ini tidak sepatutnya berlaku walaupun kita mempunyai pandangan yang berbeza. Ia tidak sepatutnya wujud dalam jamaah yang berikrar berjuang untuk Islam walaupun nyawa akan tergadai.

Apa yang menariknya ialah, isu kerajaan perpaduan telah melenyapkan konsep 1 Malaysia yang digarapkan oleh Perdana Menteri, Najib. Masyarakat tidak lagi bercakap mengenai 1 Malaysia.


Apabila menyebut konsep 1 Malaysia, suatu kontra yang amat besar telah timbul. Apabila berada dihadapan pelbagai kaum, konsep 1 Malaysia diterangkan dengan bersungguh-sungguh. Namum apabila berada dalam kelompok UMNO, ketuanan Melayu pula yang ditekankan. Ini menyebabkan timbul kegelisahan dikalangan masyarakat bukan Melayu di negara ini. Keyakinan semakin berkurang, adakah UMNO ikhlas dalam melaksanakan pemerintahan.?


-ibnuahmad-

02 Julai 2009