Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Jun 9, 2009

Warkah Buat Sahabat

Assalamualaikum WBT pembuka bicara. Semoga kita bersama-sama memperoleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat, Insyaallah. Sekalung ucapan tahniah ditujukan kepada sahabat sempena kejayaan misi menamatkan zaman bujang. Semoga kebahagiaan yang dikecapi sentiasa berterusan serta diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam merempuh pancaroba dunia yang penuh cabaran dan berliku.


Sengaja kami memilih wasilah melalui surat untuk menyampaikan ucapan tahniah di hari yang amat berbahagia, bermakna dan penuh erti ini buat sahabat. Walaupun ia boleh dianggap satu kaedah yang lapuk di zaman kecanggihan teknologi ini, namun kami merasakan ia adalah wasilah terbaik bagi kami untuk tujuan ini. Semoga persahabatan yang dibina sekian lama tetap utuh walaupun mendepani cabaran masa yang semakin pantas beredar.


Perkahwinan atau pernikahan merupakan suatu yang diimpikan oleh setiap insan (yang normal). Ia merupakan fitrah semulajadi yang dikurniakan oleh Maha Pencipta kepada setiap manusia. Tugas kita selaku ummat Islam ialah mencorakkan erti perkahwinan dan memandu keluarga kearah jalan yang diredhai Allah. Kita adalah penyambung perjuangan, meneruskan tradisi dalam memacu ke arah era kegemilangan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Fatihah ayat 6-7 yang bermaksud:


“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai (Yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (Nasrani).”


Di sini kami ingin memaklumkan akan ketidakhadiran kami ke majlis sahabat di atas kesibukkan urusan dunia kami. Kami menyusun 10 jari, memohon beribu kemaafan di atas kegagalan kami dalam menyempurnakan undangan ke majlis berbahagia sahabat. Sudi-sudilah menghantar khabar berita selepas ini agar hubungan persahabatan sentiasa terjalin dengan kukuh dan berterusan.


Akhir kata, kami sekali lagi mengucapkan tahniah di atas kehadiran insan baru dalam kehidupan sahabat. Semoga ia tetap utuh dan diredhai selalu. Segala kenangan bersama, pahit manis bersama dalam perjuangan menuntut ilmu tetap subur dalam sanubari. Sekian.


-ibnuahmad-

08 Jun 2009

2 comments:

lailafillah said...

salam..camne nak bg warkah ni kat sahabat tu? suh die bace blog ke?^^

Ibnu Ahmad said...

Ana dh post melalui surat...
Sekadar di lampirkan ia si blog ini..