Diri asyik melayan perasaan yang terbuku di hati sambil lidah pula tidak sunyi dari mengambarkan perasaan gundah gulana yang bersarang di hati. Lidah asyik menyanyikan lagu yang berulang kali diulang-ulang. Lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Irsyadee bersama Hafiz Hamidun.
Oh Tuhan Maha Kuasa, Terima taubat hamba berdosa.
Telah aku merasakan derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan menuju redhaMu ya Tuhan.
Adakah keluh kesah ini disebabkan oleh cuaca petang yang mendung, yang redup, yang dingin, yang suram? Adakah keluh kesah ini disebabkan oleh bebanan kerja yang datang tidak putus-putus, yang tiada isyarat yang menunjukkan ia akan berhenti seketika? Adakah keluh kesah ini disebabkan oleh seorang insan? Hati ini berbicara, menyoal diri sendiri, namun ia sendiri tidak mengerti apa yang sebenarnya bermain dijiwa. Apa sebenarnya yang menguasai diri.
Perjalanan pulang dari tempat kerja tidak diteruskan sehingga ke kampung halaman. Perjalanan berhenti disebuah rumah. Sebuah rumah yang terletak ditengah-tengah sawah yang terbentang dengan damainya. Sebuah rumah yang berpenghuni. Rumah seorang sahabat. Sahabat yang sangat akrab sejak dari zaman persekolahan lagi. Keakrabannya masih kekal utuh sehingga kini.
Daku memandang sayu lalang-lalang yang hidup subur. Kehidupannya yang subur yang dilihat amat bahagia. Tidak diganggu oleh serangan racun oleh para petani. Kerana sawah ini sudah lagi tidak dikerjakan. Ia hanya dihuni oleh lalang-lalang yang amat bahagia penghidupannya. Di sudut lain pula kelihatan sawah-sawah yang sudah lengang, kosong dek kerana empunya asal, si padi sudah pun dipungut oleh jentera. Jentera yang mempunyai ngauman yang bising. Itulah jentera moden yang dicipta oleh manusia. Yang tingal hanya si jerami yang telah ditinggalkan oleh si padi. Kesunyian menunggu masa pereputan.
Senyuman, gelak ketawa sang sahabat bersama keluarganya sedikit sebanyak mengurangkan gundah gulana yang bersarang di jiwa. Mungkin inilah yang dikatakan keberkatan daripada ukhwah yang sudah lama dibentuk yang sentiasa mekar berkembang, harum mewangi disirami oleh peredaran masa yang sentiasa berjalan, taat dan patuh pada arahan Maha Pencipta. Menghambat manusia yang sentiasa sibuk. Meninggalkan manusia yang dalam kelalaian.
Daku pada waktu ini lebih banyak memilih untuk mengurangkan patah perbicaraan. Daku tidak seriang seperti biasa. Lebih banyak memerhati kehidupan alam. Angin petang yang membelai-belai. Si kucing berlari-larian.
Membawa bersama khabaran rindu
Membisikkan kata-kata
Menjelmakan cintaku padanya
Cintamu tulus setia
Kasihmu tiada tara
Bertakhta buat selamanya
Di tugu kasih dan sayang
Kau ukirkan keimanan
Moga bertemu keredhaan (UNIC)
Penulisan dan Idea
Keadaan pemikiran penulis yang agak kacau telah melahirkan sebuah penulisan diatas. Mungkin ia dilihat seperti sebuah pendahuluan bagi sebuah novel atau cerpen. Bila diteleti semula, ia tidak membawa sebarang makna yang besar. Sekadar bersastera hati.
Kehidupan dan Emosi
Apa yang dilalui, yang dihadapi, yang dibaca akan mempengaruhi emosi seseorang. Emosi yang tidak terkawal akan mempengaruhi kehidupan. Setiap manusia melalui perkara yang berbeza. Tahap ilmu, usia akan membezakan tahap pemikiran, penafsiran pada erti kehidupan. Keadaan sosial, budaya juga akan mempengaruhi corak pemikiran.
Cabaran Hidup dan Dugaan
Setinggi mana tahap keimanan seseorang manusia, setinggi itulah cabaran/dugaan yang akan dihadapi. Kadang-kadang manusia menang dalam menghadapinya, kadang-kadang manusia tewas. Semuanya bergantung kepada manusia tersebut. Bagaimanakah ia mengawal dirinya. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui kemampuan setiap hambanya.
Hati dan Perasaan
Hati, sesuatu yang sukar difahami. Empunya hati juga kadang-kadang gagal memahami apa yang terkandung dalam hatinya, apa yang tersirat dalam hatinya. Di hati ini hanya tuhan yang tahu (UNIC). Mungkin perlu lebih banyak pengkajian dan pembacaan mengenai perihal hati.
Pabila rasa benci terbit di hati
Rasa kasih dan sayang pun menyisih (UNIC)
Sekian.
-ibnu ahmad-
B. (Hons) Civil Eng.
*Catatan perjalanan pada petang 11 Jun 2009.
No comments:
Post a Comment