Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger


Sep 16, 2009

Saat Terakhir

Salam Ramadhan. Detik demi detik. Masa pantas menghambat waktu sehinggakan tidak terkejar oleh sang manusia, yang sentiasa tidak cukup menggunakan nikmat masa. Nikmat yang amat berharga kurniaan Allah SWT. Walaupun ia amat berharga, namun berapa ramaikah manusia yang menghargainya? Berapa ramaikah yang menggunakannya sebaik mungkin? Selaras dengan taraf penciptaan manusia di muka bumi. Hamba kepada Maha pencipta.


Masa terus berlalu dengan pantas sekali. Kini, usia Ramadhan semakin berada di penghujungnya. Amat singkat sekali terasa usia Ramadhan selama sebulan. Di akhir usia Ramadhan ini, sejauh mana ibadat kita? Bagaimana dengan solat tarawih. Tadarus pula, di manakah tahapnya? Ibadat sedekah? Di mana kedudukan kita berada? Di masa penghujung Ramadhan ini.


Jika kita melihat di masjid, surau, balaisah. Kelihatan orang-orang tua semakin berkurangan. Kanak-kanak riang berkejaran. Anak-anak muda terlalu jarang kelihatan. Hilang. Tetapi jika dilihat di tepi-tepi jalan, di warung kopi, kelihatan anak-anak muda amat ramai. Menghisap rokok dan dengan bangganya melepaskan asap secara perlahan-lahan.


Ibu-ibu, kaum hawa pula semakin sibuk di dapur. Biskut. Kek. Ketupat. Tapai dan bermacam lagi. Kerja-kerja yang amat memenatkan. Kaum perantau mula bersiap untuk pulang ke desa, ke kampung halaman. Di corong-corong radio, kedengaran lagu-lagu raya berkumandang menadakan waktu tamat Ramadhan semakin hampir.


Kematian juga banyak kedengaran pada Ramadhan ini. Masa yang memecut laju. Semakin memendekkan usia manusia. Langkah kematian manusia semakin dekat menghampiri.


Adakah manusia masih lagi mempunyai masa dalam mengejar detik-detik terakhir Ramadhan pada tahun ini? Di penghujung Ramadhan ini, manusia semakin kepenatan. Kekurangan tenaga. Penat dengan aktiviti seharian.


Persoalan demi persoalan yang ditimbulkan. Penyelesaiannya ada dalam diri masing-masing. Setinggi mana ilmu yang dimiliki, sekuat mana iman yang dicipta, sekuat manakah cinta manusia, cintakan ilahi.

No comments: