Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger


Showing posts with label karenah muslimat. Show all posts
Showing posts with label karenah muslimat. Show all posts

Apr 27, 2010

ANUGERAH CARTA TOP 10


JASA ANDA DI DUNIA

ANUGERAH ANDA DIAKHIRAT

1. Meninggalkan sembahyang

- Ular Saqar sedang menunggu

2. Melewat-lewatkan sembahyang

- Neraka WAIL sedang menganga

3. Meringan-ringankan syariat

- Mendapat pandangan murka Al-Jabbar

4. Mengumpat peribadi orang

- Gunting neraka sedang diasah

5. Menyebarkan gossip atau fitnah

- Duri- duri menanti anda di taman neraka

6. Tidak menjaga pergaulan

- Libasan api neraka dijanjikan

7. Tidak berakhlak dengan manusia

- Kemurkaan Allah bersama mu...

8. Menyakiti hati orang dengan lisan

- Masuklah mana-mana pintu neraka

9.Meringankan amanah

- Angkatlah seberkas kayu dari neraka

10.Bersangka buruk

- Amalan baik diambil orang


Dari Abdullah bin 'Amru ra, RasulAllah S.A. .W bersabda: "
Sampaikanlah pesanku walaupun hanya satu ayat ".

Nota:
Diambil dalam yahoo group.

Feb 23, 2010

Pedoman Pergaulan antara Laki-Laki dan Wanita yang Bukan "Mahram"

Peringatan kepada Lelaki Beriman

Di dalam surah An Nur, Allah mengarahkan supaya memberi peringatan kepada lelaki beriman supaya mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Daripada pandangan, ia biasanya akan menimbulkan pandangan yang jahat, pandangan yang tidak beriman. Ia akan melahirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya yang sentiasa menjadi keinginan manusia tetapi bertentangan dengan kehendak Islam seperti melihat perkara aurat yang menggerakkan diri kepada perbuatan permulaan zina.


Lelaki yang beriman juga perlu sentiasa memelihara kemaluannya bagi mengelakkan zina terjadi. Kesan daripada perbutan zina jelas sekali kelihatan pada zaman ini dengan kelahiran ramai anak luar nikah, pembuangan bayi, pembunuhan dan pengguguran bayi dalam kandungan. Nasab keturunan semakin tidak dijaga sedangkan Islam amat mementingkan nasab keturunan.


Di sini Allah menegaskan bahawa perbuatan menahan pandangannya dan memelihara kemaluan adalah lebih suci kepada lelaki yang beriman dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.


Peringatan kepada Wanita Beriman

Allah juga mengarahkan supaya memberi peringatan kepada wanita-wanita beriman supaya mereka menahan pandangannya serta kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.


Dan hendaklah wanita-wanita beriman menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada:

  1. Suami mereka
  2. Ayah mereka
  3. Ayah suami mereka
  4. Putera-putera mereka
  5. Putera-putera suami mereka
  6. Saudara-saudara laki-laki mereka
  7. Putera-putera saudara lelaki mereka
  8. Putera-putera saudara perempuan mereka
  9. Wanita-wanita islam
  10. Budak-budak yang mereka miliki
  11. Pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita)
  12. Anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.


Dan janganlah wanita-wanita beriman memukulkan kakinyu agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.

Allah memberi peringatan kepada orang-orang beriman supaya sentiasa bertaubat kepada Allah. Allah menegaskan kepada orang-orang yang beriman supaya mereka beroleh keberuntungan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.


Wallahualam.


Rujukan surah An-Nur, ayat 30-31.

Feb 2, 2010

Pahala Terakhir Seorang Isteri..

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.


Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua, di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tetapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami. Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.

Kami di anggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya. Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa. Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu mela yani suami. Sebagai seorang yang juga sibuk di pejabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya. Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.


Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penat dan letih tidak dapat digambarkan.


Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain-main dan bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedar saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut di pinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya, kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik. Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu. Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil. Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar t tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur.


Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, “Abang, Zee terlalu penat,” lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur. Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya. Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali – panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke hospital, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan pemergian suami, tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di dunia ini. Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meinta maaf daripadanya. Sabda Rasulullah s. a. w, “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba di tolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya.” Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir ke pipi. Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah. Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pa hala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya. Itulah harapan saya … semoga Allah perkenankannya.


Kisah benar- petikan dari majalah NUR- cahaya keinsafan – hanan.com.my


Diambil daripada blog Ust Hanif

Jul 4, 2009

Daku Kembali (5)

Dunia Blog
Dunia penulisan melaluli blog menghiasi medan internet dewasa ini. Kemunculan blog yang tumbuh dengan banyaknya dalam waktu yang singkat. Perkembangan blog di dunia kampus juga amat rancak. Ada yang muncul sekejap, kemudian terus malap (mati).

Apa yang ingin disebut disini ialah dunia blog mahasiswa. Kebanyakkan blog yang saya lawati adalah bersifat tidak berpijak di bumi yang nyata. Terlalu idealistic. Segala penceritaan merujuk kepada perkara yang baik namun hakikatnya diri penulis sendiri, ia mempunyai jarak yang amat jauh.

Tidak salah menulis perkara-perkara yang baik sahaja, namun biarlah penulisnya menghampiri nilaian apa yang ditulisnya. Janganlah jadi seperti orang munafik berbicara. Biarlah apa yang ditulis menyentuh hati penulisnya terlebih dahulu sebelum ia menyentuh hati pembacanya.

Sekadar pandangan peribadi bagi memperbaiki nilai penulisan, etika seorang penulis dan bagi memperbetulkan diri sendiri.

-ibnuahmad-
02 & 03 Julai 2009

Apr 22, 2009

Sayap Kiri (Episod 2)

Tiada perancangan untuk menulis siri kedua untuk tajuk yang sama. Tiba-tiba mendapat ilham untuk menulis. Muslimat sayap kiri perjuangan (episod 2). Membebel kepada muslimin.

Mutakhir ini, tidak dinafikan lagi peranan muslimat dalam arena dakwah. Keupayaan golongan ini semakin dihargai kadang-kadang diambil kesempatan oleh golongan muslimin.

Keupayaan mereka dalam melaksanakan sesuatu program dan aktiviti menyebabkan mereka dipilih untuk melaksanakan program dan aktiviti yang seterusnya. Jika dulu muslimin dilihat satu watak yang gagah, perkasa, hebat. Kini mereka dilihat semakin lembek dan tidak berfungsi dengan sempurna. Sudah tidak memainkan peranan sebagai seorang muslimin. "Dah la golongan yang sedikit, tak berkualiti pula tu", kata-kata yang kedengaran diucapkan oleh muslimat.

Kini, kebanyakan program dan aktiviti banyak dikelolakan oleh muslimat. Dari peringkat bawahan sehinggalah atasan. Kalau macam ni jadinya, mulimat bukan lagi sayap kiri perjuangan, muslimat dah jadi tulang belakang perjuangan.

Dimana muslimin???

Muslimin hanya tahu bercakap. Tapi pemalas.

Muslimin hanya tahu mencari populariti. Mengeluarkan idea yang menggegarkan dunia. Namun apa pun tak ada.

Muslimin hanya tahu memberi arahan. Muslimat pula patuh sahaja. Arahan ketua katakan. Jika disemak kembali, kerja tersebut tak sepatutnya dilakukan oleh muslimat, kerana muslimin masih lagi wujud. Lain cerita jika muslimin sudah pupus. Hilang. Tetapi muslimin masih hidup. Masih ramai.

Apabila ditanya, "kenapa bagi muslimat buat kerja ini?". Jawapannya, "muslimat pun kena buat kerja dakwah juga. Muslimat pun makhluk Allah juga".

Begitu hebat muslimin masa kini. Terlalu pandai berkata-kata. Terlalu pandai mencari alasan. Melarikan diri pada tanggungjawab. Lalu membebankannya pada insan yang lemah untuk memikulnya.

Sungguh terkilan melihat keadaan ini. Kecelaruan fikrah yang semakin menjalar dalam jiwa. Walaupun tidak semua muslimin bersikap begitu. Namun sudah ada dua tiga orang yang bersikap seperti itu. Bimbang virus ini merebak dengan lebih meluas lagi.

Bangkitlah semula wahai muslimin sekalian.

Jika muslimat sering menceritakan kebanggaan mereka. Pahlawan Khaulah Al Azwar. Lalu ia menjadi pendorong kepada mereka untuk memajukan diri sehingga menjadi hebat.

Sepatutnya kita sebagai muslimin lebih berkemampuan dari muslimat. Kita mempunyai ramai pahlawan yang hebat. Kita mempunyai Ali bin Abi Talib, Abu Ubaidaidah Amir Al Jarrah, Zubir bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas, Khaled Al Walid, Hussin bin Ali, Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh, Hassan Al Banna dan ramai lagi. Kita sepatutnya lebih ke depan. Memayungi mereka bukannya mempergunakan mereka.

Perbanyakkan usaha. Elakkan mencari alasan. Banyakkan mujahadah. Tingkatkan ukhwah. Bina kekuatan. Ikhlaskan niat. Kita mampu lakukan. Kembalikan kegemilangan. Kita adalah muslimin. Kita adalah pemimpin. Kita adalah pejuang-pejuang pewaris nabi.

*Penulisan ini bukanlah untuk membela golongan muslimat namun sedikit terkilan bila ada muslimin yang mencari alasan dalam melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh kaum muslimin. Lalu mencadangkan tanggungjawab tersebut diberikan pada muslimat.


-ibnuahmad-

Apr 12, 2009

Permasalahan Semasa

Dalam mengharungi kehidupan di akhir zaman ini, pelbagai karenah, fitnah yang berlaku. Ia diburukkan lagi apabila berlaku dikalangan golongan-golongan pejuang agama Allah. Berdasarkan situasi semasa, apa penulis dapat lihat ialah:
  1. Ada yang hebat yang memperjuangkan Islam. Selalu kedepan apabila ada isu-isu Islam diperlekehkan. Mengemukan idea-idea yang bernas untuk menjayakan dakwah Islam. Namun dia gagal menguruskan diri sendiri. Dia gagal menguruskan kewangannya, keluarganya, kebersihannya, kemasyarakatannya, akademiknya. Sedangkan semua itu amat dituntut dalam Islam.
  2. Ada yang kuat bekerja untuk Islam. Kuat mencari dana untuk Islam, hebat mengedarkan risalah-risalah dakwah. Tetapi ia gagal dalam amal ibadatnya. Solat wajibnya selalu lewat. Amalan sunat jarang dilakukan.
  3. Ada juga pejuang Islam yang hebat dalam ibadatnya. Setiap hari dipenuhi amalan sunat dengan tidak dilalaikan amalan wajib. Namun ia tewas dengan wanita. Wanita menyebabkan hatinya senantiasa gundah gulana. Sentiasa berusaha untuk menghubunginya. Ada saja perkara yang hendak dibincangkannya.
  4. Ada juga pejuang Islam yang terlalu prejudis pada sahabat-sahabatnya. Mula bersangka buruk apabila idea dan pendapatnya ditolak. Merasa diri di anak tirikan. Sedangkan sesuatu perkara yang dibuat telahpun dibuat mesyuarat dan perbincangan. Mengambil kira pendapat semua. Mempertimbangkan pro dan kontranya.
  5. Merasakan diri terlalu mulia. Mahu pendapatnya sentiasa dijulang dan diterima orang.
  6. Terlalu memikirkan tentang orang lain. Bimbang orang lain gugur dalam medan perjuangan. Tetapi tidak berfikir mengenai diri sendiri. Tidak usaha untuk diri sendiri. Merasakan diri "tidak akan kecundang" dalam arus ini. Merasa diri terlalu hebat.
  7. Emosi. Asyik melihat dan mengatakan orang lain beremosi. Tetapi apabila semua merenung kembali, dialah yang beremosi. Terlalu emosi.
  8. Ego. Keras kepala. Tidak menerima pendapat orang lain.
Amat banyak jika disenaraikan permasalahannya. Banyakkanlah berdoa. Tingkatkanlah ukhuwah. Insyaallah, dengan berjamaah segala masalah akan dapat diatasi. Bukan menambahkannya.


-ibnuahmad-

Mar 12, 2009

Bimbang

Hidup di akhir zaman dilalui dengan penuh fitnah. Perkara ini memerlukan manusia sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Silap langkah, bungkuslah kita. Dalam meniti hari-hari di zaman ini, umat Islam perlu mendaki ilmu agar diri tak terjerusmus ke lembah kesesatan.

Perkembangan teknologi moden telah memudahkan manusia mendapatkan pelbagai ilmu pengetahuan. Televisyen. Radio. Video CD. Telefon. Internet. YM. YG. MP3 dan pelbagai lagi. Amat mudah manusia di akhir zaman ini.

Namun kesan negatif yang terjadi adalah penyebaran maklumat-maklumat palsu yang menjadikan umat islam gagal mengikut jalan Islam yang hakiki. Sering dilihat di muka TV, di dada akhbar tentang berkembangnya golongan ajaran sesat. Kenapa? Mengapa? Kita menjadi hairan apabila melihat ramai golongan cendikiawan juga terpengaruh dengan ajaran sesat.

Ia juga boleh menyebabkan berlaku fitnah yang besar.

Apa yang dapat saya gambarkan adalah umat Islam pada zaman ini dahagakan ilmu. Ilmu agama. Lalu mereka pergi mencari ilmu. Tetapi mereka telah berjumpa dengan guru yang salah. Menyebabkan mereka pun mengikuti ajaran yang sesat yang di ajar oleh guru yang sesat.

Apa yang boleh saya nasihatkan ialah:

Belajarlah dengan banyak orang guru. Agar ia boleh menampung kekurangan yang ada pada guru lain. Ia juga boleh mengelakkan daripada kita mengalami kesesatan.

Ketaksuban pada seorang guru akan menyebabkan seseorang itu terlalu memuja gurunya. Semua yang diperkatakan oleh guru tersebut akan diaminkan walaupun ia amat berbeza dengan guru-guru lain. Elakkan daripada taksub pada seorang guru sahaja.

Banyakkan bertanya semasa belajar (mengikuti kuliah) agar ilmu yang dipelajari dapat difahami sepenuhnya. Ini mengelakkan kita daripada membuat tafsiran sendiri pada sesuatu bahagian ilmu yang kurang jelas difahami.

Banyakkan membaca pelbagai sumber rujukan agar kita mempunyai asas yang kukuh. Apabila sesuatu ilmu sampai pada kita, kita mampu menganalisis ilmu tersebut. Kita mampu membezakan ilmu itu sama ada sesat atau tidak.

Elakkan penyebaran sesuatu maklumat sebelum kita mengenalpasti status keadaannya. Apa yang perlu dipastikan ialah adakah maklumat yang diperolehi sahih, dimanakah sumber rujukannya. Selidik dulu maklumat yang diperolehi. Baca dulu, sebelum sebarkan. Kebanyakkannya, baca pun tak lagi. Terus sebarkan. Medium sebaran terlalu mudah. Emel, yahoo group, yahoo mesengger, sms, blog dan lain-lain.

Daripada huraian yang panjang ini, sebenarnya saya nak ceritakan janganlah menyebarkan maklumat-maklumat yang kita perolehi dengan bersahaja tanpa melihat dahulu maklumat tersebut. Saya takut kita yang menjadi punca orang lain menjadi sesat. Jikalau kita salah menyampaikan maklumat mengenai sirah, masih boleh dimaafkan. Tetapi jika kita tersalah menyampaikan maklumat mengenai akidah dan fekah? Apakah akibat yang kita akan tanggung.?

Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami.


-ibnuahmad-


Bimbang - Alarm Me

Apakah di depan menanti
Bayangnya sering menghantui
Berdegup kencang jantung ini rasa
Memenuhi ruang hati

Makin hari makin hampir
Apakah ku sedia menanti
Cukup siagakah ku menghadapi
Saat itu hampir pasti

Terlepaskah dari genggaman
Segala yang dicengkam
Sudikah nanti ia bersamaku
Atau ia meninggalkan ku

Kenangan silamku
Menerpa setiap waktu
Alangkah indahnya hidupku
Jika kembalikan silamku

Masih menanti (masih mencari)
Cahaya pelangi
Mewarnai sinar hidup yang sepi
Masih menanti (masih mencari)
Kicauan penawar
Melagukan irama pengharapan

Hidup perlu dihargai
Setiap degup jantung ini
Kenangan pahit pernah dilalui
Ada hikmah tersembunyi


Mar 7, 2009

Karenah yang Berpanjangan, Seolah-Olah Movie yang Ditayangkan Berulang Kali

Nasihat menasihati sesama Islam adalah satu amalan yang baik dan dituntut oleh agama Islam. Ia adalah untuk mengingati insan yang terleka. Nasihatlah secara berhikmat. Terima kasih atas nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh para sahabat-sahabat.


Salam. Asif ganggu, ana nak ingatkan anta cukuplah dengan apa yang anta dah lakukan di dalam Yahoo Group Sahabat Iqra’


Satu peringatan dari seorang sahabat. 95% keyakinan yang ada dalam diri ana menyatakan mesej ini dari muslimat. Tapi tak pastilah jika firasat ana salah. Cukuplah dengan apa yang anta dah lakukan di dalam Yahoo Group Sahabat Iqra’.?????


Anta dah tersasar jauh dari niat sebenar anta. Apa yang anta lakukan ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah yang mungkin juga mengundang neraka Allah.


Kehebatan “manusia” yang memberi nasihat ni ialah dia mampu membaca niat seseorang. Memang hebat. Menurutnya lagi, Helmi telah melakukan kesalahan yang mengundang kemurkaan Allah dan boleh mengundang neraka Allah. Dalam pernyataan ini, ana tak pasti apa yang telah dilakukan oleh Helmi sehingga sampai ke tahap itu. Ana juga pernah menerima amaran seperti ini lebih kurang 3 tahun lepas. Pening kepala ana. “Apa yang telah aku buat ni, teruk sangat ke aku ni”. Selepas dirujuk kepada senior-senior pada masa tersebut, barulah ana sedikit mengerti situasinya. Ana pun buat tak kisah je.


Anta sepatutnya lebih memfokuskan tentang masalah umat. Ini sepatutnya yang anta beri keutamaan, bukannya analogi-analogi karut anta yang laghokan orang lain.


”Masalah umat”. Skop yang amat besar untuk difikirkan tapi wajib memikirkannya. Namun ia bergantung kepada kemampuan individu. Contohnya, seorang yang gagap tak sesuai menjadi bilal. Masalah umat”, Helme dah huraikan dengan panjang lebar dalam artikelnya. Cuma antum baca atau tak jer. ”Ini sepatutnya yang anta beri keutamaan”. Ayat yang biasa digunakan. Melihat sesuatu tugasan itu tanggungjawab orang lain. Tidak meletakkan tanggungjawab itu pada diri sendiri. Helme membuat analogi-analogi karut? Tak pernah pula terbaca Helme membuat analogi karut. Yang mengarutnya, orang yang mereply tulisan Helme. (termasuklah ana sekali, tukang reply emel). So, adakah Helme bersalah? Contohnya, Zaiton hendak kelas pukul 8 pagi, Zaiton berpakaian biasa (menutup aurat), tidak bermake up. Dipertengahan jalan, Zaiton dikacau oleh Mamat Indon. Adakah Zaiton yang patut dipersalahkan?


Maksud surah Ash-Saff ayat ketiga, “amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”. Ana tak tahu nak kaitkan ayat ni dengan Helme. Adakah ayat ni dikaitan dengan epal hijau (baitul muslim)?


“Siapa ni?” Perkara yang biasa penulis lakukan tatkala nombor telefon yang menjengah masuk ke kotak inbox telefon bimbit penulis tidak dikenali. Mesej diterima, “Insan prihatin”. Ringkas mesejnya. “Iyalah. Kenapa tak bagitau ja Hamba Allah? Nak tahu nama!”. Balasku. Tiada lagi mesej selepas itu.


Benda yang ana menyampah. Hantar mesej tak tulis nama. Bila ditanya, tidak menjawab soalan yang ditanya. Insan perihatin konon. Atau tak reply lansung. Memang cukup menyampah.


Nama pun tak tahu. Macam mana nak selesaikan masalah umah kalau macam ni. Ataupun kita hanya tahu menunding kesalahan orang lain. Ataupun kita hanya tahu meletakkan tanggungjawab pada orang lain. Tugas kita? ”Anta salah ni”. ”Anta tak betul ni”. ”Anta mangkuk hayun ni”.


Servey yang Ariff buat kat YGKI pun tak dapat sambutan. Hanya dua tiga orang (yang dikatakan bermasalah) yang memberi respon paling awal.


So, diatas semua persoalan ini. Siapakah yang bersalah. Ana kot.



-ibnuahmad-

Mar 3, 2009

Egonya Pemimpin

Manusia dilahirkan dengan sifat semulajadi yang lebih cenderung kepada keburukan. Ego adalah satu sifat yang sinonim dengan manusia zaman sekarang. Menurut Mohd Shukri Hanapi, ego atau sombong adalah sifat mazmumah (keji dan tercela) yang wajib ditinggalkan. Ia bermaksud tidak mahu menerima kebenaran, menganggap diri lebih tinggi dan mulia daripada orang lain. Jika ditanya adakah kita tergolong dalam golongan orang yang ego atau sombong, tentu ramai mengatakan tidak.

Menurutnya lagi, orang yang ego selalu mengiyakan pendapat atau pandangan orang lain apabila berhadapan dengan orang ramai. Di belakang mereka, dia akan mencaci dan menganggap pendapat itu tidak bernas, malah merendahkan personaliti orang berkenaan. Orang sombong juga enggan mengalah walaupun dia bersalah. Dia sanggup bertegang urat asalkan dia menang. Mereka yang sebegini akan berasa puas apabila melihat orang lain diam dan hanya mengiyakan kata-katanya. Dia langsung tidak menghiraukan larangan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, 46)

Dalam memimpin sesuatu organisasi, pemimpin perlulah mengawal sifat ego yang ada dalam diri, pemimpin perlu membuang sifat ego. Jika ego tidak dikawal atau dibuang, maka ia boleh menggugat organisasi tersebut.

Pemimpin yang ego, yang selalu bercanggahan pendapat dengan ahli, yang berkehendak memenangkan pendapatnya sahaja biasanya mengakibatkan perpecahan. Ini menyebabkan ahli hilang rasa hormatnya pada pimpinan seterusnya menghilangkan ketaatan pada pimpinan. Apabila perkara ini berlaku menyebabkan gerak kerja yang dirancang tidak boleh dijalankan secara lancar.

Analogi yang boleh dibuat, umpama pimpinan itu ibu bapa, manakala ahli adalah anak-anaknya. Ibu bapa menggunakan perkataan seperti ‘anak degil’, ‘tidak guna’ dan ‘keras kepala’ menjadi amalan biasa. Natijahnya, tidak hairanlah jika dilihat apabila anak bergaduh sesama mereka, perkataan yang sama akan dilafazkan. (Mohd Shukri Hanapi)

Apabila ahli-ahli sudah muak dengan sikap pimpinan, mereka tidak lagi menghormati pimpinan. Puncanya kerana pemimpin yang ego sehinggakan ahli menganggap kehadiran mereka menyusahkan dan tidak menghormati mereka sebagai ahli.

Allah memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan tidak kasar dalam berbahasa. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh, itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran, 159)

Berdasarkan ayat itu, Allah bukan saja memerintahkan hamba-Nya sentiasa berlembut dalam ucapan, malah mengingatkan bahawa perkataan atau sifat yang kasar hanya menyebabkan ramai orang lari daripada mendekati diri kita. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nisa’, 148).
(Mohd Shukri Hanapi)

Seorang pemimpin haruslah pandai bermain psikologi bagi mengawal ahli-ahlinya. Pemimpin juga harus muhabah diri jika ahli-ahlinya mula menjauhkankan diri darinya. Muhabahlah secara positif, cuba mencari kesalahan diri dan jangan asyik mencari kesalahan orang lain. Tingkatkanlah hubungan dengan Allah swt, mohon petunjuk dariNya.

Dialah Allah, yang tidak ada tuhan melainkan dia; yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dialah Allah, yang tidak ada tuhan melainkan dia; yang menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengannya. Dialah Allah, yang menciptakan sekalian makhluk; yang mengadakan (dari tiada kepada ada); yang membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadanya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah yang tiada bandingnya, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al Hasyr, 22-24)


-ibnuahmad-


Rujukan
Mohd Shukri Hanapi, Ego jadikan umat keras hati, kasar, sukar mengalah, http://library.kkdn.gov.my, 4 Mac 2009

Seloka - Tutup Aurat Satu Tuntutan

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun 'make up'.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.

Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.

Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
Hanya saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali untuk akhawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan isteri.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat seluruh badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh tauladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh sekarang mulai.


*Seloka ini diperolehi daripada emel, tidak diketahui siapa penulisnya. Agak menarik untuk dikongsi bersama. Sama-sama berhibur sambil menghayati pengajaran daripadanya. Semoga sama-sama mendapat manfaat. -ibnuahmad-

Feb 17, 2009

Sirah, Perniagaan, Ekonomi dan Jihad

Manusia menyebut tarbiah itu penting. Manusia menyebut dakwah itu penting. Manusia menyebut akademik itu penting. Namun apakah kepentingan perniagaan ataupun ekonomi dalam membentuk, mencorak dan menyemarakkan tarbiah, dakwah, akademik, siasah, kebajikan dan lain-lain lagi. Penulisan ini cuba menyingkap kembali perniagaan dari aspek sirah dan juga kepentinganya.

Kegiatan utama penduduk semenanjung arab pada zaman jahiliah dan juga zaman kerasulan SAW ialah perniagaan. Perniagaan yang dijalankan adalah melibatkan dalam dan luar semenanjung arab. Di mekah, pasar Ukaz adalah satu tempat perniagaan yang popular. Ia menjadi tumpuan utama masyarakat pada masa tersebut. Antara peniaga-peniaga Islam pada masa tersebut termasuklah Muhammad Rasulullah SAW, Siti Khadijah bt Khuwailid, Abdurrahman bin Auf, Uthman bin Affan, Abu Ubaidah Amir Al Jarrah, Abu Bakar As-siddik dan ramai lagi.

Ini menunjukkan sunnah pekerjaan utama ialah perniagaan. Amat pelik jika umat Islam pada masa kini cuba mengelakkan diri daripada menceburi bidang pekerjaan ini sebaliknya kaum-kaum lain berlumba-lumba untuk menguasai bidang perniagaan.

Apabila dakwah Islam mula berkembang di Mekkah, kafir quraisy mula mengenakan sekatan ekonomi terhadap ummat Islam. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa pemulauan terhadap umat Islam.

Cuba bayangkan jika peristiwa pemulauan terhadap ummat Islam berlaku lagi pada zaman ini. Jika melihat zaman rasulullah SAW, agak ramai umat yang menguasai ekonomi Mekkah. Apabila berlaku pemulauan, ia telah memberi penderitaan yang besar kepada ummat Islam sedangkan kini di Malaysia, ekonomi tidak dikuasai oleh orang Islam. Renungkanlah sejauh mana penderitaannya.

Keadaan di Madinah (Yatrib), kaum Aus dan Khazraj sering berperang akibat dilagakan oleh kaum Yahudi Laknatullah. Yahudi menguasai ekonomi Madinah. Di Malaysia sekarang ini, Yahudi turut menguasai ekonomi terutama dalam aspek pemakanan. Lambakan barangan Nestle di pasaran seperti Milo, Nescafe, Nestum, pelbagai jenis susu dan banyak lagi sehinggakan mentaliti penduduk Malaysia mengatakan "jika tak makan milo, nescafe, kami nak makan apa? Mati la." Selain itu, makanan halal di Malaysia semakin diragui. Banyak berita yang dikeluarkan di akhbar seperti "ayam babi", "gula-gula babi", "ayam tak sembelih"

Apabila umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam mula menguasai ekonomi Madinah. Umat Islam mewujudkan jaringan perniagaan Islam yang tidak mengamalkan penindasan, halal lagi baik serta bebas dari unsur-unsur riba dan penipuan. Ini menyebabkan keadaan masyrakat Madinah mula beralih kepada perniagaan berkonsepkan Islam. Ekonomi Islam pada masa tersebut semakin kukuh.

Namun apa yang berlaku di Malaysia sekarang, apabila ada perniagaan umat Islam yang mula naik secara perlahan-lahan, kebanyakkan umat Islam sendiri yang tidak menyokong barang keluaran orang Islam sebaliknya mereka masih terlalu mengagung-agungkan barangan buatan bukan Islam. Mereka membeli barangan buatan bukan Islam tanpa ragu-ragu, tetapi apabila hendak membeli barangan buatan orang Islam, banyak persoalan mempertikaikan barangan buatan orang Islam.

Semasa berlaku peperangan Tabuk (menentang Rom Byzantium), Rasulullah SAW menyeru umat Islam supaya berjihad dengan harta dan tenaga. Dua penyumbang terbesar bagi menampung perbelanjaan peperangan ini ialah Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Abdurrahman bin Auf. Ini menunujukkan ekonomi amat penting dalam Islam bagi menjaya sesuatu jihad bagi menegakkan syiar Islam. Sesetengah umat Islam pada masa kini ekonomi memandang ekonomi adalah suatu yang tidak penting. Mereka memandang itu hanya urusan dunia. Dunia.

Daripada huraian diatas dapat digambarkan kepentingan perniagaan dalam Islam dan mempunyai jaringan ekonomi Islam bagi mengelakkan penindasan, penyelewengan dan penipuan serta untuk mendapatkan keperluan barangan yang halal lagi baik. Ia juga merupakan suatu tuntutan jihad.

-ibnuahmad-

Dec 20, 2008

Adab yang Lazim bagi Isteri

  1. Kasih sayang kepada keluarga suami. Kebanyakkan wanita zaman sekarang kahwin kerana hendakkan suami sahaja, tetapi tidak mahu kepada keluarga suami. (Ini adalah adab yang salah)
  2. Peliharalah harta suami sama ada suami ada ataupun tiada dirumah.
  3. Kasih sayang terhadap segala kerabat suami, anak suami dan janganlah memakinya.
  4. Peliharalah daripada melawan cakap suami. Orang perempuan suka membantah cakap suami kerana ia merasa lebih besar/hebat daripada suami.

Maksud hadith “Bermulalah perempuan yang terlebih lebih hampir dengan rahmat (kasih sayang) Tuhan ialah apabila ia sembahyang di rumahnya”.


Apabila diizinkan oleh suami untuk keluar daripada rumah, adab yang lazim baginya ialah:

  1. Berpakaian buruk (maksud daripada pakaian buruk ialah pakaian yang tidak menarik minat orang lain).
  2. Jangan berhias dengan pakaian yang baik-baik (cantik-cantik).
  3. Jangan memakai bau-bauan.
  4. Hendaklah berjalan ditempat sunyi (tempat yang tidak sesak, tidak ramai orang), bukan di Bandar.
  5. Hendaklah memelihara suara daripada didengar oleh lelaki lain (tidak boleh perempuan menyanyi di khalayak ramai).
  6. Memelihara daripada orang lain mengenali rupanya.
  7. Jangan hiraukan lelaki lain daripada menuntut sebarang hajat (utamakan suami). Suami pula hendaklah menjadi yang terbaik untuk isteri.
  8. Jangan memperbanyakkan bertandang ke rumah sekampung (rumah orang lain).
  9. Jangan banyak berkata-kata dengan orang yang sekampung (orang ramai).
  10. Jangan masuk ke rumah orang sekampung melainkan ada hajat yang memerlukan untuk memasukinya. Hendaklah menjaga adab apabila bertandang ke rumah jiran dll.
  11. Jangan memberi izin kepada orang lelaki lain untuk masuk ke rumah (termasuklah jurujual) jika suami tiada di rumah. Ia adalah untuk memelihara sifat cemburu suami pada isteri.
  12. Hendaklah berpada dengan rezeki yang diberi oleh Allah SWT.
  13. Janganlah isteri menuntut apa yang lebih daripada kemampuan suaminya.
  14. Hendaklah mendahului hak suami daripada hak dirinya dan hak kerabatnya.


Huraian kitab Muhimmah olh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz


-ibnuahmad- 16th December 2008

Nov 28, 2008

Sayap Kiri

Aku mengambil contoh struktur tentera musyrikin Makkah dalam peperangan Uhud
  • Jeneral Perang – Abu Sufyan bin Harb
  • Sayap Kanan – Khalid Al Walid
  • Sayap Kiri – Ikrimah bin Abu Jahal
  • Belakang – Bahagian makanan, minuman dan perubatan
  • Sokongan – Penyair wanita digunakan untuk menguatkan semangat kaum lelaki berperang.

Jikalau dilihat dalam konsep peperangan, peranan sayap kiri tentera adalah amat penting. Ia sama penting dengan peranan sayap kanan.

Kalau dilihat dari sudut ini, wanita diletakkan dibahagian sokongan, bukannya sayap kiri.

Pada dasarnya, lelaki mampu berjuang walaupun tanpa wanita. Tetapi ia akan menjadi agak tempang ataupun kurang sempurna tanpa kehadiran golongan ini.

Ada yang mengumpamakan lelaki sebagai burung dan wanita pula sebagai sayap kiri. Tanpa sayap kiri (wanita), burung (lelaki) tidak boleh terbang (berjuang). Perumpamaan ini seolah-olah menyatakan lelaki tak boleh berjuang tanpa kehadiran wanita tetapi pada hakikatnya lelaki boleh berjuang tanpa wanita. Bagi aku, perumpamaan ini tak sesuai.

Jikalau diumpamakan lelaki sebagai ayam dan wanita sebagai sayap kiri. Bagiku ia agak logik juga. Ini kerana tanpa sayap kiri (wanita), ayam (lelaki) tetap boleh berjalan (berjuang) walaupun kelihatan agak cacat dan kurang sempurna.

Apa la yang mengarut hari ni.


-ibnuahmad-

Banyak Cakap

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa manusia pada zaman ini memang suka bercakap (ada juga yang tidak suka bercakap, namun kuantitinya adalah sedikit). Apabila berjumpa dengan teman sebaya, teman rapat ataupun teman yang telah lama tidak berjumpa, bertambah lagi rancak topik perbualannya. Keadaan ini berlaku tidak kira dari golongan lelaki atau perempuan.

Perempuan dengan sikapnya yang amat pemalu apabila berada di depan lelaki, tapi apabila di belakang tabir (contohnya tabir solat), masya allah, tak berhenti mulutnya. Sampai nak solat pun dah jadi kurang khusyuk. Lelaki pun lebih kurang je.


Menarik mengenai percakapan ni ialah sampai dalam tidur pun mulut masih lagi bercakap (mengigau). Maklumlah, masa tak tidur cukup pendek, jadi sambung cakap masa tidur pula. Di sini aku selitkan cerita perempuan yang banyak bercakap (berleter) yang aku ambil dari http://uncle.blogdrive.com/


Seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar.

Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata: "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.

Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"

Umar berkata kepadanya: "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.

"Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya.

"Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya."

Lelaki itu menjawab: "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."

Umar pun berkata kepadanya: "Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."


Bersabarlah wahai kaum lelaki, termasuklah aku.


-ibnuahmad-

Oct 24, 2008

Tudung: Perbualanku dengan Seorang Muslimat

Ini adalah antara dialog antara muslimat tersebut denganku. Aku menegurnya mengenai pemakaian tudung. Jawapannya adalah seperti berikut:


Muslimat wrote:

waalaikumussalam...

trima kasih atas teguran saudara...
tggujwb sesama muslim utk menegur sesama saudaranya....

tak tahu pulak pakaian sy xdisenangi...
atau dgn kata laen tidak menutup aurat...

terima kasih sgt ats teguran tu....
saudara mengklasifikasikan saya sebagai muslimat y bertudung labuh...

maafla saya katakan...
sy ni org y semmgnya kurg ilmu agama...

sy dgn jujurnya berkata y sy bkn bertudung labuh...

sy nk tye saudara la...
bertudung labuh...dgn y mnutup aurat...
maksudnya menutup melebihi paras dada...
xsama ke?

atau bertudung labuh itu br dikatakan menutup aurat...
ttp yang bertudung pendek tidak menutup aurat...mksudnya tudung pendek ttp melebihi paras dada...

sy xsuke membezakan antara 2 istilah ni...walaupon ade sesetengah y suke membezakan istilah tersebut....dan memndg serong pd org2 spt kami...

kami mghrpkan teguran bknnye pndgn negatif kpd kami...
pepon trima kasih pd saudara y sudi menegur

hya pendapat dr sy y semmgnya kekurgn ilmu agama...
hrp teguran dr sesiapa y ingin menegur...

syukran.....


ibnuahmad wrote:

Apa yg saya fahami, pemakaian tudung wajib melepasi paras dada, paras bahu. Mcm yg awak pakai masa mula2 saya kenal awak dulu, bg saya pada masa tu dah ok, dh saya anggap sebagai tudung labuh.

Apa yang saya anggap labuh, xla labuh sampai ke lutut. Kalau labuh macam tu lagi ok.

sesuai dengan firman Allah dalam surah surah al ahzab ayat 59 yng bmaksud

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Saya tegur awak sebab saya tengok sejak akhir2 ni tudung awak xmelepasi tahap yang sepatutnya. (pada pandangan saya)

Sekadar menegur (tanggungjawab seorang mukmin), berkongsi ilmu, pendapat. Saya juga bukan ahli dalam bidang ini. Minta tunjuk ajar.