Kemajuan sesuatu bangsa atau tamadun, masa depan bukanlah ditentukan oleh BI. Malaysia mensasarkan kita akan menjadi negara maju menjelang 2020 mengikut acuan kita sendiri. Mengikut acuan sendiri pada hematnya kita akan menjadi maju mengikut budaya kita, bahasa kita dan kita sendiri yang melaksanakannya.
Mengambil contoh kepada beberapa negara asing. Jepun, Jerman dan Perancis adalah negara yang maju. Mereka maju bukan disebabkan mereka menggunakan BI dalam pembelajaran mereka. Sebaliknya mereka memajukan negara menggunakan bahasa negara mereka sendiri.
Berbalik kepada negara India yang menggunakan BI dalam urusan seharian mereka. Namun sehingga kini mereka amat jauh ketinggalan dalam mencapai kemajuan negara. Walaupun 60% BI digunakan seluruh dunia, tetapi apa yang perlu kita banggakan.
Berbalik kepada sejarah. Suatu ketika lampau, dunia ini dikuasai oleh dua kuasa besar iaitu Rom Byzantium (Kristian) dan Parsi Sassanid (Majusi). Mereka menguasi bahasa dunia pada ketika itu. Pada zaman khalifah Umar Al Khattab, umat Islam berjaya mengalahkan dua kuasa besar ini. Umat Islam tidak mengambil bahasa Rom atau Parsi sebagai bahasa pembelajaran mereka sedangkan banyak ilmu pada masa tersebut dalam bahasa Rom dan Parsi. Umat Islam memajukan diri menggunakan bahasa Arab dan memang terbukti tamadun Islam, ilmu Islam, teknologi Islam berkembang dengan pesatnya.
Pada zaman kemuncak keilmuan Islam, ditakdirkan tamadun Islam jatuh dan ilmu-ilmu Islam telah dipindahkan ke negara barat. Di barat, mereka juga tidak mengambil bahasa asing (bahasa arab) sebagai bahasa pembelajaran walaupun boleh dikatakan majoriti sumber ilmu dalam bahasa Arab. Sebaliknya mereka memilih bahasa ibunda dan sekali lagi terbukti mereka berjaya mencapai kejayaan dalam kemajuan. Maju menggunakan bahasa sendiri walaupun rujukan dalam bahasa asing.
Persoalan ”kita terlalu cepat melatah”. Setelah 6 tahun PPSMI dilaksanakan. Keputusan peperiksaan telah dikeluarkan. Kajian terperinci oleh ilmuan-ilmuan, pakar-pakar dan para cendikiawan yang mahir dalam pelbagai bidang lalu digabungkan menunjukkan penggunaan BI dalam sains dan matematik tidak sesuai.
Lalu kita yang masih mentah ini menuduh mereka ”cepat melatah”. Terlalu hebatnya kita ini. Tingginya ilmu kita ini berbanding mereka. Dari logik akalnya, memang kita tiada kelayakkan menuduh mereka ”cepat melatah”. Jikalau mereka menuduh kita ”budak mentah”, ada juga kebenaranya.
Seorang pensyarah saya yang belajar di Jepun. Beliau boleh dikatakan seorang pelajar yang bijak dan ”power” dalam BI. Di awal pembelajarannya di Jepun, seorang pensyarah menyuruhnya supaya membentangkan hasil tugasan yang telah di berikan. Beliau gagal bertutur dalam bahasa Jepun dan meminta supaya beliau dibenarkan menggunakan BI. Tindak balas dari pensyarah Jepun tersebut, ”kamu mencari alasan, kalau kamu tak boleh berbahasa Jepun, kenapa kamu datang belajar ke sini”.
Perlukah kita menukar bahasa rasmi dengan kedatangan pelajar antarabangsa. Tidak kira di UIAM ataupun dimana-mana universiti. Itu bukan alasannya. Mereka datang ke negara kita. Mereka perlu menguasai bahasa kita. Bukan kita yang tunduk pada mereka.
Negara kita menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memelihara bahasa kita. Sejauh manakah ia berfungsi. Apabila ada ahli DBP bersuara untuk memelihara bahasa kita, mereka akan dipecat dan dikaitkan dengan pembangkan. Pengerusi GMP (Gerakan Mansuh PPSMI) adalah bekas pengarah DBP. Hakikatnya, apabila ada yang bersuara, mereka akan dicantas. Sedangkan mereka pembela bahasa kita.
Antara tugas DBP adalah menterjemahkan buku-buku asing ke dalam bahasa melayu. Masalah untuk memahami istilah-istilah sains dan matematik sepatutnya tidak timbul.
Bahasa melayu masih menjadi bahasa rasmi dalam rang undang-undang dan perlembagaan. Ahli-ahli parlimen juga diwajibkan mengguna bahasa melayu ketika bersidang. Setiap orang diwajibkan kredit bahasa melayu sebelum dibenarkan memasuki universiti. Bahasa melayu masih menjadi subjek teras di semua sekolah. Negara kita pula dalam mengejar kemajuan teknologi. Bila disebut teknologi, ia merujuk kepada sains dan matematik dan pembelajarannya dalam BI. Keadaan ini melihat suatu sistem yang songsang sedang diamalkan di negara ini. Belajar BI, bahasa bercakap Melayu.
Islam tidak pernah membezakan manusia mengikut bahasa yg digunakan. Al-Quran tak pernah mengatakan Bahasa Inggeris itu "bahasa penjajah" (language of kafirun) atau bahasa yang boleh mengancam budaya kita. Islam juga tidak pernah mengatakan ”untuk maju kita perlu belajar BI”
Dari surah pertama diturunkan Allah kepada kekasihNya iaitu surah Al-alaq, Allah memerintahkan kita utk membaca (Iqra'). Kita disuruh membaca untuk menambah ilmu yang melimpah di dunia. Al-Quran tak pernah nyatakan medium atau bahasa apa yang kita perlu gunakan untuk menuntut ilmu selagi ilmu itu bermanfaat pd manusia sejagat. Tetapi berdasarkan sejarah lepas dan keadaan semasa, belum ada yang maju menggunakan bahasa lain. ”Adakah kamu tidak mengambil pelajaran?”
Adakah perjuangan untuk memartabatkan bahasa melayu boleh dikatakan sebagai mendiskriminasi BI. Adakah pejuang-pejuang bahasa menyatakan BI adalah bahasa perosak yang mengancam. Apakah hak kita untuk melebel orang sebagai ”pendiskriminasi bahasa lain”. Jikalau mereka (pejuang-pejuang bahasa) bukan ”pendiskriminasi bahasa lain”, kita telah menuduh mereka. Kita telah menbuat fitnah kepada mereka. Kita melakukan suatu dosa yang besar.
Saudaraku, maruah anak-anak bangsa kita di masa hadapan bukan ditentukan dengan BI. Bukan juga ditentukan dengan kemajuan. Selagi kita teguh berpengang dengan ”tali” Allah, insya Allah maruah anak bangsa orang Islam akan terus terjaga. Kembalilah pada Islam yang hakiki, Islam yang sebenarnya.
Elakkan dari terpengaruh dengan propanganda yang munkin datang dari musuh-musuh Islam. Yahudi, Nasrani dan golongan munafik.
Sesungguhnya Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang merubahnya. Sesungguhnya yang baik datangnya dari Allah, Maha Pencipta dan segala kekurangan merupakan fitrah kejadian insan dan berpunca dari jahilnya ilmu dan jauhnya hubungan dengan Allah menyebabkan manusia gagal mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Wallahualam.
-ibnuahmad-
No comments:
Post a Comment