“Wah, Hebatnya dia ni!”
Inilah ayat-ayat yang dapat kita dengar dari mulut seseorang apabila melihat sesuatu kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Begitu juga kita yang terlalu kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Mengapa kita sering memandang kelebihan orang lain sebagai ukuran kepada kekurangan kita? Mengapa kita tidak terfikir “Oh! Dia ni ada kelebihan dalam bidang ini. Aku pula ada kelebihan dalam bidang lain”. Sesungguhnya Allah menciptakan seseorang itu dengan kekurangan disertakan dengan kelebihan.
“Aku bukan macam kau, kau hebat. Siapalah aku ni nak ada kelebihan macam kau”. Sahabat sekalian, merendah diri itu perlu tetapi jangan sampai menghina diri. Islam tidak mengajar kita untuk menghina diri di hadapan makhluk ciptaanNya yang lain. Kita harus berbangga dengan kelebihan yang kita miliki. Dan kita perlu ingat, ilmu yang diberikan ini bukan milik kita seorang. Kita juga perlu ingat, ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita perlu disebarkan kepada orang lain.
Ada yang mahir dalam bidang perniagaan, ada yang mahir dalam bidang kepimpinan, tidak kurang juga yang mahir dalam bidang sukan. Semuanya Allah berikan untuk disebarkan kepada orang lain. Manusia dicipta untuk saling lengkap-melengkapi.
Bagi yang sedar akan kelebihan yang dimilikinya, boleh untuk berbangga. Tetapi jangan sampai kebanggaan itu bertukar menjadi riak, ujub, takbur sehingga sanggup memperlekehkan orang lain atau merendahkan sumbangan orang lain. Jika kita rasa diri kita banyak kekurangan, ada insan lain yang lebih kekurangan dari kita. Jika kita rasakan kita banyak kelebihan, ada lagi insan yang lebih banyak kelebihannya berbanding kita.
Sekiranya nama dan kemasyuran yang kita kejar, nescaya kita akan menemui kekecewaan. Sekiranya kita lakukannya dengan niat kerana Allah, kita akan berbangga dengan apa yang dilakukan.
Ada di kalangan kita sedar akan kelebihan yang dimiliki, tetapi kita telah terlupa bagaimana langkah pertama kita sehingga kita mampu menjadi seperti sekarang. Apakah faktor yang menjadikan kita dipandang mempunyai kelebihan seperti kini? Ingatkah lagi di mana garisan permulaan kita sehingga apa sahaja gerakkerja yang berkaitan dengan kelebihan kita, terus orang lain menuju ke arah kita? Semuanya di dalam rencana Allah yang maha Kuasa dan maha Bijaksana.
Penulis hanyalah manusia biasa. Tatkala diri ini diberi amanah memegang portfolio Lajnah Penerbitan, Informasi & Multimedia dalam Kelab Iqra’ UTHM sesi 07/08, pernah juga saya rasa bangga dengan kelebihan yang dimiliki ini sekaligus menyatakan tiada orang lain yang mampu menandingi diri ini. Kekecewaan hadir dalam hati ini apabila poster yang dihasilkan saban malam dan ianya megah terpampang di sekitar kampus akhirnya dicabut dan ditempatkan di tong sampah ketika selesainya suatu program. Lantas diri ini berfikir, dan menetapkan niat “aku buat semua ni kerana Allah”.
Anggaplah kerja yang kita buat ini sebagai salah satu cabang dakwah, salah satu cabang Amal Makruf Nahi Mungkar. Usahlah kita berkecil hati jika melihat poster kita di dalam tong sampah, tetapi berbanggalah kerana mungkin dengan niat kita yang ikhlas ini telah diganjarkan Allah dengan sesuatu yang lebih berharga dari sebuah kebanggaan. Semuanya hanya Allah yang tahu.
Oleh : emiebestz@Nurul Helme bin Zulkipli
No comments:
Post a Comment